GOMBAK - Tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara Pas dengan parti komponen PR pada masa ini bukanlah satu janji atau ketaatan yang perlu dilakukan secara membuta tuli.

Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din menegaskan tahaluf siyasi dengan parti sosialis dan parti yang berasaskan kepada pelbagai kaum itu boleh diteruskan selagi mana ia ada kepentingan umum.

"Tahaluf yang berlaku sekarang ini ialah bukan janji atau ketaatan membuta tuli.

"Ada maslahah teruskan.. (Jika) tiada, faham-fahamlah," katanya pada Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat ke-54 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini, hari ini.

Haron juga berkata, Pas bertahaluf bukan kerana mahu menambah bilangan penyokong bagi memenangkan parti itu dalam pilihan raya semata-mata.

"Kalau semata-mata nak menang pilihan raya, tak kisah tahaluf itu lulus syariah atau tidak, maka kita bimbang kita mungkin beruntung sedikit di dunia, dan akan rugi-seruginya di akhirat kelak.

"Atas itulah keutamaan dilihat kepada lulus syariah atau tidak," ujarnya.

Dalam pada itu, Haron turut menyenaraikan enam garis panduan bagi tujuan tahaluf siyasi yang dibuat sejak 2009.

Antaranya tahaluf siyasi yang diharuskan mestilah dijadikan wasilah untuk menegak dan memperkukuhkan Islam serta membuka ruang kepada pelaksanaan hukum Islam.

Selain itu, katanya lagi, kerjasama politik itu mestilah menjadi Islam sebagai dasar utama untuk dipertahankan.

"Tahaluf siyasi perlu menuruti ketaatan wala' mutlak, hendaklah diberikan kepada kepimpinan Pas, bukan kepada parti lain yang bertahaluf.

"Kemudian, ia hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah, matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan tahaluf secara mutlak.

"Akhirnya, Majlis Syura Ulama Pas mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi ini berdasarkan kepada maslahah dari semasa ke semasa," katanya lagi.