Saturday, July 25, 2015

Jangan sebut gaji haram, anda yang kecewakan rakyat, kata Mujahid kepada PAS

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pelbagai isu termasuk makan gaji haram sengaja dimainkan pihak tertentu bagi menyerang Gerakan Harapan Baru. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Julai, 2015.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pelbagai isu termasuk makan gaji haram sengaja dimainkan pihak tertentu bagi menyerang Gerakan Harapan Baru. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Julai, 2015.


Kalau dengan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB), ia membuatkan gaji wakil rakyat PAS haram, bagaimana pula dengan gaji mereka yang hanya mendiamkan diri apabila Pakatan Rakyat (PR) tumbang, soal Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu, yang kini pengerusi protem GHB Pulau Pinang, menuduh kepimpinan PAS gagal mengambil berat mengenai rakyat dan gabungan pembangkang.

Beliau bertanya, tidakkah itu bermakna gaji mereka juga haram kerana turut mendapat manfaat daripada sekutu mereka dengan PR sebelum ini.



Mujahid berkata, isu dimainkan bagi menentang GHB, yang dibentuk satu kumpulan serpihan PAS, dan surat khabar arus perdana seperti Utusan Malaysia, digunakan bagi menyerang gerakan baharu itu.
"Sesuatu yang menyedihkan apabila ada orang daripada parti, yang merupakan sebahagian PR, kini menyerang gerakan baharu ini.

"Mereka membuat kenyataan tidak logik, contohnya wakil rakyat yang menyertai GHB makan gaji haram kerana mereka menang pilihan raya atas tiket PAS.

"Saya ingin bertanya mereka, adakah gaji wakil rakyat yang gagal menjaga rakyat dan yang menyerang PR juga haram?

"Saya ingin bertanya, adakah mereka menang pilihan raya kerana PR atau hanya kerana mereka daripada PAS?" soalnya pada rumah terbuka Hari Raya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dan GHB di Komtar, Pulau Pinang malam tadi.

Mujahid berkata, calon PAS yang menang pada pilihan raya umum 2008 dan 2013 berhutang kemenangan mereka kepada PR, memetik kemenangan sendiri di Parit Buntar sebagai contoh.

Ahli Parlimen dua penggal itu berkata, 26,000 undi dan majoriti 8,000 yang diperolehinya bukan semata-mata kerana PAS.

Beliau berkata, hanya terdapat 4,000 ahli PAS di Parit Buntar, dan paling banyak pun, jika tiada seorang pun daripada mereka mengundinya, beliau masih dapat mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 8,000 kerana sokongan yang dia dapat dengan menjadi sebahagian daripada PR.

"Fikirkanlah. Ia merupakan satu fakta yang undi itu bukan saja datang dari PAS. Adakah saya mendapat gaji dan elaun saya secara haram?

"Hati-hati sebelum mengeluarkan fatwa menuduh orang lain makan wang haram," katanya.

Mursyidul am PAS Datuk Haron Din sebelum ini berkata, wakil rakyat parti itu yang menyokong GHB menikmati gaji dan elaun yang diperolehi secara haram kerana mereka memenangi kerusi mereka atas tiket PAS.

Beliau berkata mereka yang dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya itu mengangkat bai'ah untuk setia dan tidak mengkhianati parti, dan menasihatkan mereka berhati-hati kerana janji itu dibuat dengan nama Allah.

"Saya menasihatkan pihak yang berbaiah supaya merenung sedalam-dalamnya kehendak baiah itu kerana mereka berbaiah dengan Allah.

"Jika berlaku khianat, mereka khianat dengan Allah. Lebih-lebih lagi dalam baiah yang menyebut soal elaun dan gaji kerana ia haram dimakan jika berlaku pelanggaran baiah," beliau dipetik berkata akhbar Berita Harian semalam.

Mujahid, bagaimanapun, memberi amaran supaya tidak bermain dengan agama dan ajarannya atau berdepan risiko menimbulkan persepsi yang salah tentang Islam.

Beliau berkata, tidak wajar mempermainkan sesuatu yang mempunyai kaitan dengan agama dan undang-undang tanpa pengetahuan dan pemahaman yang betul, membuatkan orang lain memandang serong kepada Islam.

Menyangkal dakwaan pengkritik GHB, beliau berkata, Allah hanya mengambil janji yang dibuat dengan bersungguh-sungguh, bukan yang dibuat dengan sia-sia.

Namun, katanya, sekiranya seseorang melanggar sumpahnya, dia boleh membayar denda (kaffarah) dengan memberi makan atau pakaian kepada 10 orang miskin, atau berpuasa selama tiga hari.

"Nabi juga berkata jika ada sesuatu yang lebih baik daripada sumpah yang lebih awal, seseorang itu perlu memilih untuk memenuhi perkara yang yang lebih baik itu dengan membayar denda yang diperlukan.

"Inilah apa yang kita (GHB) cuba lakukan, bukan untuk kesejahteraan kita sendiri tetapi untuk kepentingan semua orang di negara ini.

"Ajaran Islam tidak bermaksud untuk membebankan rakyat... Walaupun sumpah dilanggar, ia tidak bermakna seseorang itu hilang kepercayaan atau mati kerana kejahilan," katanya.

Terdahulu, ketika berucap kepada pengunjung di rumah terbuka itu, Mujahid berkata perjuangannya kini adalah terhadap sebuah kerajaan yang korup.

Beliau berkata, penggantungan tiga bulan The Edge dan The Edge Financial Daily berhubung pendedahan penerbitan itu mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap ahli parlimen DAP Tony Pua dan beberapa orang lain, tidak boleh diterima. – 25 Julai, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jangan-sebut-gaji-haram-anda-yang-kecewakan-rakyat-kata-mujahid-kepada-pas#sthash.uc67Hq7o.dpuf

No comments:

Post a Comment