Friday, August 7, 2015

KONSPIRASI SIAPA! Dua Pengarah SPRM ditukar serta-merta ke JPM


001
PUTRAJAYA, Jumaat – Dua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) yang terbabit dalam operasi khas menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International, dana RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan membuat kenyataan tegas, ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Pemindahan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa serta-merta, hari ini.
Difahamkan, buat sementara kedua-duanya akan melaporkan diri ke JPM pada Isnin ini, namun jawatan mereka belum ditetapkan.
Bahri sebelum ini menentang tindakan pihak polis yang menyiasat SPRM berhubung dakwaan kononnya agensi itu disyaki terbabit membocorkan dokumen sulit kerajaan berhubung siasatan terhadap 1MDB dan bekas anak syarikat agensi pelaburan negara itu, SRC International.
Tindakan ke atas kedua-dua pegawai kanan SPRM itu bertentangan dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Ahmad Zahid memberi jaminan tindakan lanjut tidak akan dikenakan ke atas pegawai SPRM yang disiasat berhubung kebocoran maklumat kes 1MDB.
Katanya, tindakan yang diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas pegawai SPRM itu adalah sekadar mengambil keterangan.
“Saya jamin tidak ada penahanan akan dibuat oleh PDRM melainkan sekadar mengambil kenyataan daripada pegawai berkenaan. Saya jamin tiada tindakan lanjut akan berlaku,” katanya kepada pemberita.
Setakat ini, polis telah mengambil keterangan daripada tujuh pegawai SPRM, termasuk Bahri, berkaitan kes kebocoran maklumat siasatan.
Berikutan itu, Bahri mengeluarkan beberapa kenyataan keras mengecam tindakan polis ke atas SPRM, termasuk bersumpah akan mencari dalang di sebalik siasatan itu.
Kakitangan SPRM turut mengadakan solat hajat selepas polis menangkap dan menyoal siasat pegawai mereka.
Rabu lalu, SPRM turut mengeluarkan kenyataan akan meminta Najib memberi penjelasan mengenai sumbangan derma berjumlah RM2.6 bilion yang diterima beliau.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari itu, SPRM berkata, hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun milik Najib adalah derma yang disumbangkan oleh pihak tertentu.
tppa-kempen
Klik untuk bantah TPPA
Sementara itu, beberapa portal berita melaporkan SPRM semakin yakin polis sengaja mahu mengganggu siasatan mereka terhadap SRC International Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Najib.
SRC International disiasat berhubung pinjaman daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) bernilai RM4 bilion kepada 1MDB, serta pemindahan dana RM4.2 bilion ke akaun peribadi Najib sebagaimana didedahkan oleh The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report.
Menurut sebuah portal berita, sumber SPRM berkata, ramai saksi agensi antirasuah itu ditahan di balai polis atau di Bukit Aman, termasuk saksi utama kes berkenaan.
“Keadaan menjadi semakin buruk apabila pegawai SPRM yang menyiasat kes itu pula, termasuk Timbalan Pendakwa Raya ditahan.
“Walaupun, polis menafikan membuat penahanan, pegawai berkenaan hanya dibebaskan selepas diikat jamin RM10,000,” kata sumber itu seperti dilaporkan portal berkenaan.
Malah, katanya, salah seorang daripada pegawai terbabit menghabiskan satu malam di dalam lokap.
“Macam mana polis menafikan mereka ditahan apabila mereka dikenakan ikat jamin? Mereka boleh menipu orang awam tetapi tidak boleh menipu seseorang yang memahami undang-undang,” kata sumber itu.
Sumber itu berkata, polis memang mengetahui undang-undang tetapi melanggarnya kerana ada seseorang atau pihak tertentu di belakang mereka.

No comments:

Post a Comment