Khalid Abu Bakar
Mereka yang ditahan ialah bekas Ahli Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Rashpal Singh; petugas di bahagian Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA), Jabatan Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis telah merakam percakapan ketiga-tiga mereka berhubung laporan berbaur fitnah yang dibuat Clare.
“Siasatan polis turut menjurus kepada isu kebocoran maklumat rasmi kerajaan yang disalahgunakan oleh pihak tertentu.
“Beberapa pegawai daripada Bank Negara dan bank komersial akan turut dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Isnin lalu, portal berita Malaysia Today mendakwa Rashpal te­lah membocorkan maklumat mengenai siasatan pasukan petugas khas terhadap Sarawak Report.
Bagaimanapun, SPRM menafikan dakwaan terbabit dengan menyatakan Rashpal tidak mempunyai sebarang akses kerana ketika ini beliau bukan anggota penasihat agensi itu.
Sebelum ini, bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi telah membongkar komplot oleh pembangkang dan pe­ngendali Sarawak Report untuk memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Melanyi juga mendedahkan hampir 90 peratus kandungan laporan Sarawak Report berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa diubah suai oleh pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan menjatuhkan Najib.
Mengulas lanjut, Khalid me­negaskan, polis akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil berlandaskan peruntukan undang-undang.