Sunday, August 9, 2015

Shahrir Samad Minta Sidang Khas Parlimen Lantik Pengerusi Baharu PAC


Diterbitkan: Sabtu, 8 Ogos 2015 7:16 PM
Shahrir Abdul Samad.

SEGAMAT: Tan Sri Shahrir Abdul Samad meminta satu sidang parlimen khas diadakan bagi melantik pengerusi baharu bagi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Ahli Parlimen Johor Baru yang juga Pengerusi Barisan Nasional Backbenchers Club (BNBC) berkata, sidang sehari itu boleh diadakan pada bulan depan dan tidak perlu menunggu sehingga Oktober bagi menunggu sidang parlimen bermula.
"Langkah ke hadapan buat PAC adalah mempunyai pengerusi baharu secepat mungkin supaya jawatankuasa itu boleh memulakan siasatan mereka terhadap isu 1MDB," kata Shahrir selepas merasmikan mesyuarat Pemuda Umno Segamat di Kampung Bukit Tunggal di sini, Sabtu.
Beliau berkata, tanpa pengerusi baharu, PAC tidak dapat meneruskan siasatan 1MDB atau memanggil saksi bagi membantu siasatan.
"Kita tidak perlu menunggu sehingga Oktober depan bagi melantik pengerusi baharu PAC kerana kita perlu menyelesaikan isu 1MDB secepat mungkin," katanya.
Shahrir berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin perlu mengadakan sidang sehari bagi mencadangkan calon untuk menggantikan Datuk Nur Jazlan sebagai Pengerusi PAC.
"Ramai Ahli Parlimen dari Barisan Nasional yang bersesuaian untuk menggantikan Nur Jazlan dan ia bergantung kepada jawatankuasa pemilih untuk membuat pemilihan.
"Selagi individu tersebut (pengerusi PAC baharu) bukan saya, saya akan sentiasa menyokongnya yang dipilih oleh jawatankuasa," katanya.

No comments:

Post a Comment