Friday, August 28, 2015

Tubuh NCC segera untuk selamatkan rakyat‎


SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
28 OGOS 2015
Mustafa Ali  Mustafa Ali

SHAH ALAM – Masalah dihadapi negara ketika ini yang melibatkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh diselesaikan dengan penubuhan sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Majlis Perundingan Negara atau National Consultative Council (NCC).

Bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, matlamat utama penubuhan majlis itu menyerupai fungsi Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) tetapi meliputi semua aspek iaitu politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Dulu kita pernah tubuhkan Mapen untuk selesaikan masalah ekonomi. Tetapi masalah yang kita hadapi ketika ini bukan saja ekonomi, tetapi politik dan juga kesejahteraan rakyat.

“Jadi masalah rakyat ini yang perlu ditangani dengan segera. Jika tidak, siapa yang nak selamatkan negara?” katanya dalam sesi temu bual bersama editorial Sinar Harian, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, penubuhan NCC itu perlulah merentasi perbezaan politik dan dianggotai oleh pemimpin utama parti politik di negara ini.

“Ahlinya tidak perlu ramai, mungkin dalam 30 hingga 50 orang. Selain pemimpin politik, boleh juga jemput NGO yang penting seperti Institut Integriti Malaysia dan Transparency International Malaysia (TI-M) selain tenaga-tenaga pakar.

“Matlamat utamanya ialah untuk selamatkan rakyat. Maka penubuhannya perlu dilakukan secepat yang mungkin,” katanya.

Ketika ditanya mengenai siapakah yang paling layak mempengerusikan majlis itu, beliau mencadangkan tiga nama.‎

“Ada tiga orang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah. Kalau ditanya siapa yang paling layak, Dr Mahathir adalah orangnya.

“Ini kerana Dr Mahathir pernah menjadi perdana menteri dan beliau memahami banyak perkara. Saya yakin beliau boleh fikirkan macam mana cara nak selesaikan masalah negara sekarang,” ujarnya.

Katanya, usaha untuk bawa cadangan pelaksanaan majlis itu boleh dikemukakan mana-mana ahli parlimen.

“Kalau suara ramai, mungkin cadangan ini boleh dibawa oleh ahli parlimen, tidak semestinya pembangkang saja,” katanya.

Menurut Mustafa, beliau terpanggil untuk tampil dengan cadangan tersebut kerana merasakan masalah negara sudah berada di tahap parah.

“Masalah ketika ini pelbagai, ia kombinasi ekonomi, politik dan kesejahteraan rakyat. Saya tak pernah lihat ia berlaku pada zaman mana-mana perdana menteri sebelum ini.

“Ia terlalu tidak baik untuk negara apabila ada campur tangan dalam institusi daripada pemimpin negara. Situasi ini perlu dihentikan tetapi kita tak tahu bila akan ada perubahan,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafa yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas berkata, terdapat empat cara yang boleh dipertimbangkan untuk mengubah kerajaan sedia ada.

“Pertama, pilihan raya... itu normal. Kedua, melalui undi tak percaya dan ketiga ialah sistem ‘presedence’ seperti yang berlaku di Perak.

“Keempat ialah menolak pembentangan bajet di Parlimen oleh perdana menteri yang biasanya dilakukan pada Oktober. Kalau majoriti ahli parlimen tidak meluluskan bajet, itu bermakna undi tak percaya kepada perdana menteri dan secara moralnya beliau perlu letak jawatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment