Sunday, September 6, 2015

Perjalanan memenatkan


Pelarian berjalan kaki 160 kilometer ke Austria
06 September 2015 12:41 AM


BUDAPEST 5 Sept. - Lebih 4,000 pendatang yang kepenatan dan kebasahan akibat hujan, akhirnya tiba di Austria hari ini selepas berjalan kaki sejauh 160 kilometer dari Budapest, Hungary.
Sebahagian daripada mereka, kebanyakannya dari Syria, dilihat membalut tubuh dengan selimut yang basah ketika disambut oleh pekerja bantuan Austria yang turut menghulurkan makanan dan teh panas di pintu sempadan.
Selain itu, ada antara penduduk Austria dilihat memegang sepanduk tertera perkataan ‘Pelarian dialu-alukan’.
Mail Online melaporkan, ada antara pendatang rebah sejurus tiba di sempadan Austria.
Semua pendatang berkenaan nekad berjalan kaki dari Stesen Kereta Api Keleti di Budapest ke Austria selepas Hungary melarang mereka menaiki kereta api untuk ke negara-negara Eropah lain.
Perkembangan baharu itu me­nyaksikan Austria dan Jerman meng­umumkan untuk menerima kemasukan para pendatang selepas Hungary turut membantu menyediakan berpuluh-puluh bu­ah bas bagi membawa golongan itu ke sempadan.
Ribuan lagi pendatang yang masih berada di Keleti juga dijangka berjalan kaki ke Austria.
Sementara itu, polis Bavaria menjangka, sebanyak 10,000 pendatang akan tiba di Jerman bermula pukul 12 tengah hari (6 petang waktu Malaysia) hari ini dengan syarikat kereta api nasional, Deutsche Bahn menyediakan kereta api khas untuk lebih kurang 500 pendatang ke Munich.
Semua pendatang boleh memohon suaka politik di kedua-dua negara berkenaan.
Canselor Jerman, Angela Merkel berkata, negaranya tidak mele­takkan had kepada pendatang untuk mendapatkan perlindungan politik.
“Sebagai negara yang kaya dan kukuh, Jerman akan melakukan apa yang perlu bagi memastikan semua pencari suaka mendapat hak mereka,” katanya dalam satu wawancara dengan akhbar, Funke.
Menteri Luar Austria, Sebastian Kurz menyifatkan, krisis pelarian ini merupakan yang terbesar di dunia sejak Perang Dunia Kedua dan satu cabaran baharu buat Eropah. – REUTERS/AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/perjalanan-memenatkan-1.131959#sthash.wf2AEtre.dpuf

No comments:

Post a Comment