Sunday, October 25, 2015

Bersedialah tali di perut, GST mungkin dinaikkan

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM – Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam jelas menunjukkan bahawa pendapatan kerajaan semakin terhad dan kehabisan dana.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, kerajaan kini hanya mampu bergantung hidup dengan duit rakyat melalui hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Tahun lepas, ekoran kejatuhan harga minyak dunia, Najib mengumumkan langkah intervensi ke atas Bajet 2015 untuk mengurangkan kadar operasi pengurusan berkurang sebanyak RM5.5 bilion manakala mengekalkan perbelanjaan pembangunan pada RM48.5 bilion.
“Contohnya, antara langkah yang dibuat ialah menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang membawa penjimatan sebanyak RM400 juta. Ketika itu, GST belum dilaksanakan lagi.
“Ini menunjukkan sebenarnya kerajaan mampu mengurangkan perbelanjaan mengurusnya. Sepatutnya langkah itu diteruskan. Namun tidak, di dalam Bajet 2016, PLKN muncul semula dengan peruntukan sebanyak RM360 juta dalam keadaan kerajaan kehilangan sumber pendapatan daripada Petronas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITANBajet 2016 cantik di atas kertas tapi...]

Menurutnya, jika ekonomi dunia menyebabkan anggaran perbelanjaan Bajet 2016 tersasar lagi, beliau membayangkan apa lagi langkah intervensi yang akan diambil kerajaan bagi menangani perkara itu.
“Apakah kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan mengurusnya seperti di 2015? Sudah hampir pasti tidak. Kali ini, Pas percaya kerajaan akan menaikkan kadar GST sebagai penyelesaian mudah daripada berusaha mengurangkan perbelanjaan mengurusnya.
“Dengan tumpuan sebegitu berat kepada GST dalam Bajet 2016, Pas ingin melahirkan kebimbangan terhadap kenaikan kadar GST,” katanya.
Malah beliau menasihatkan rakyat agar bersiap sedia berdepan dengan kemungkinan itu untuk tahun-tahun akan datang.
“Tidaklah melampau untuk dikatakan bahawa Najib telah membuka laluan kepada kenaikan kadar GST yang lebih tinggi di 2017 dan tahun-tahun seterusnya untuk menampung operasi pengurusannya yang sentiasa ketirisan dan bertambah jika sumber pendapatan kerajaan dan harga minyak sedunia tidak banyak berubah.
“Ini tidak termasuk lagi kesan kejatuhan nilai ringgit dan 1MDB kepada pendapatan negara yang langsung tidak disentuh di dalam Bajet 2016. Bersedialah dengan tali di perut, rakyat Malaysia. Sesungguhnya BR1M itu hanyalah seperti ajinomoto yang menyedapkan makanan seketika tapi meninggalkan kehausan berpanjangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment