Wednesday, October 28, 2015

Indonesia sokong AS, sertai TPPA



JOKOWI (kiri) berjabat tangan dengan Obama di pejabat Presiden AS itu di White House, Washington kelmarin.


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memenangi sokongan Indonesia untuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kelmarin.
Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi juga berjanji untuk menyertai pakatan dagangan bebas itu.
Indonesia merupakan antara kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara.
“Indonesia mengamalkan ekonomi terbuka dan dengan populasi 250 juta penduduk, kami merupakan kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara. Justeru, kami bercadang untuk menyertai TPPA,” kata Jokowi di Oval Office.
Setakat ini, sebanyak 12 negara telah bersetuju menyertai TPPA termasuk Australia, Kanada, Jepun, Mexico, Viet­nam dan AS untuk mewujudkan ekonomi perdagangan bebas terbesar dunia.
Perjanjian itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai pe­nimbal balas untuk mengekang pengaruh ekonomi China di rantau Asia Tenggara.
Sokongan Jokowi merupakan kemenangan politik untuk Obama yang sebelum ini berdepan jalan sukar untuk menyempurnakan pakatan itu yang dikekang oleh Kongres tanpa sokongan daripada ahli Parti Demokrat pimpinannya.
Obama mendakwa TPPA mempunyai standard persekitaran dan pekerja paling kuat daripada mana-mana perjanjian dagangan yang ditandatangani oleh AS sebelum ini.
Sokongan Jokowi juga akan meningkatkan harapan berhubung kejayaan pakatan dagangan tersebut sekali gus membolehkan Indonesia me­nunjukkan kemampuannya.
Obama yang pernah tinggal di Indonesia selama hampir lima tahun ketika kecil berkata, Washington perlu mempunyai hubungan baik dengan Jakarta.
“Jelas sekali saya mempunyai kepentingan peribadi di Indonesia, memandangkan hakikat bahawa saya pernah menghabiskan sedikit masa di sana sebagai seorang anak dan mempunyai saudara-mara yang merupakan rakyat Indonesia.
“Tetapi kebenarannya adalah perkongsian kami ini membawa banyak kepentingan untuk AS.
“Hal ini kerana dengan populasi penduduk Indonesia yang ramai, kepimpinan di rantau ini, tradisi demokratik dan hakikatnya ia adalah sebuah negara Islam yang besar dengan tradisi kesederhanaan dan toleransi serta peranannya dalam perdagangan serta pembangunan ekonomi.” ujar Obama. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3po9u21yf 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment