Monday, October 5, 2015

PBB: Kenapa Najib tidak kritik AS?


RAZIATUL HANUM A.RAJAK
Najib Tun Razak

5 OKTOBER 2015
Najib Tun Razak
SHAH ALAM - Ketika Malaysia berpeluang membongkar permasalahan sebenar yang menimpa Palestin di depan semua pemimpin negara yang menganggotai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tidak berani mengkritik punca sebenar yang berdiri di sebalik penderitaan rakyat negara itu iaitu Amerika Syarikat.

Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Dr Chandra Muzaffar berkata, melalui ucapan Najib di Perhimpunan Agung PBB, Khamis lalu beliau hanya menyuarakan soal hak rakyat Palestin namun tidak menyentuh soal peranan AS dalam kekejaman yang berlaku.

“Sebagai anggota Majlis Keselamatan yang tidak tetap, peranan yang boleh dimainkan Malaysia terbatas. Ini yang harus difahami. Kita bukan kuasa besar namun saya juga berpendapat kita boleh memainkan peranan yang lebih berkesan.

“Sebagai contoh dalam isu Palestin. Memang benar kita selalu menyuarakan tentang hak rakyat Palestin dan sebagainya tetapi kita tidak begitu tegas sebagai anggota Majlis Keselamatan...berhujah tentang punca utama masalah yang dihadapi Palestin.

“Kita tidak begitu tegas mengkritik dan mengecam Israel dan AS. Kita hanya sentuh isu Palestin dan bangkitkan hak rakyat Palestin tapi kita tidak sebut langsung tentang peranan negatif yang dimainkan AS. Kita tak sebut langsung,” katanya kepada Sinar Online, baru-baru ini.

Khamis lalu, Najib memberi ucapan di Perhimpunan Agung PBB menggesa supaya satu penyelesaian muktamad dapat dicapai bagi mengakhiri ketidakadilan yang berlaku ke atas rakyat Palestin sekali gus mengutuk kezaliman rejim zionis.

Namun, Chandra berkata, Najib gagal menuding AS sebagai punca sebenar kezaliman itu terus berlaku ekoran sokongan yang diberikan kepada Israel selama ini.

“Dalam ucapan Najib, dia tidak mengkritik AS langsung sebagai negara yang melindungi Israel yang membolehkan dan memudahkan Israel terus melakukan kezaliman. AS yang terus menyokong, menyalurkan senjata dan menghalang dunia daripada menghukum Israel adalah AS.

“Perdana menteri kita walaupun membangkitkan hak Palestin tapi beliau tidak berani mengkritik AS sebagai pelindung kepada Israel. Ini kita kena kritik. Kenapa kita tidak kritik?,” katanya.

Menurutnya, isu kedua yang dibangkitkan Najib berkenaan pengganas IS juga mengecewakan apabila beliau tidak menceritakan cerita sebenar di sebalik apa yang berlaku.

“Perkara kedua yang mengecewakan daripada ucapan perdana menteri adalah beliau membangkitkan isu IS. Beliau kritik dan kata itu (IS) bukan Islam...itu semua betul, kita setuju dan sokong seratus peratus.

“Tapi yang dia tidak sentuh...jika kita benar-benar kaji isu pengganas ini, kita tahu dari beberapa sumber bahawa antara faktor-faktor yang menyebabkan munculnya IS, yang menyokong dan memberi senjata, memberi maklumat risikan, membantu dari segi dana kepada IS antara negara yang terlibat dalam pembentukan IS ini adalah AS sendiri. AS yang memainkan isu ini kerana nak gunakan IS sebagai alat untuk menggulingkan Bashar al-Assad (Presiden Syria). AS menggunakan IS di Libya juga.

“Ini tidak disebut langsung oleh Perdana Menteri kita. Beliau hanya kata IS ini tidak mewakili Islam. Kita semua sudah tahu IS ini tidak mewakili Islam. Apa yang saya kecewa dalam ucapannya itu, beliau tidak cuba mendedahkan cerita di belakang berita,” katanya.

Tegasnya, Malaysia gagal menggunakan peluang di perhimpunan tersebut dengan sebaiknya.

“Cerita belakang tabir ini harus kita bincang secara berani. Siapa yang mainkan sandiwara IS ini? Matlamat utama mereka adalah menggulingkan pemimpin-pemimpin tertentu di Asia Barat dan juga untuk mencemarkan Islam melalui imej IS yang memancung kepala dan sebagainya.

“Ini yang mengecewakan. Ya, kita ada mainkan peranan dalam perhimpunan agung itu tapi kita boleh memainkan peranan yang lebih berkesan sekiranya kita berani membongkarkan apa sebenarnya yang berlaku di sebalik tabir. Kita tidak guna peluang yang ada di PBB itu sebaiknya,” katanya.

No comments:

Post a Comment