Wednesday, October 21, 2015

Trump, Carson mahu perlindungan


REUTERS - OBAMA (tengah) berjalan ke keretanya dengan diiringi ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia.


WASHINGTON – Dua calon Parti Republikan untuk jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Ben Carson memohon perlindungan daripada agensi Perkhidmatan Rahsia, kata seorang jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) kelmarin.
Agensi dibiayai dana awam itu memaklumkan bahawa telah menerima permohonan mereka.
“Pihak kami akan menilai permohonan tersebut dan mengumumkan keputusannya,” kata jurucakap DHS, Marsha Catron dalam satu kenyataan akhbar.
Carson yang merupakan bekas pakar bedah otak ketika menghadiri satu majlis di Austin, Texas kelmarin memberitahu: “Saya sebenarnya tidak merasakan ia satu keperluan tetapi Perkhidmatan Rahsia berpendapat saya perlu dilindungi”.
Permohonan tersebut diterima beberapa bulan sebelum Parti Republikan dan Parti Demokrat menamakan calon masing-masing dalam pilihan raya Presiden AS.
Trump dan Carson kerap membuat kenyataan kontroversi mengenai isu agama dan etnik minoriti tetapi masih mampu menarik jumlah penyokong yang besar.
Trump pernah menggelar imigran Mexico sebagai perogol dan pembunuh sementara Carson pula tidak mahu orang Islam menjadi Presiden AS.
Sekiranya permohonan mereka diluluskan, Trump dan Carson dapat menjimatkan kos yang banyak dalam aspek keselamatan di samping memperoleh manfaat politik lain.
Tidak pelik untuk calon jawatan Presiden AS meminta dan menerima perlindungan Perkhidmatan Rahsia sebelum penamaan calon dibuat.
Barack Obama menerima perlindungan agensi tersebut pada Mei 2007, 18 bulan sebelum dilantik menjadi Presiden kulit hitam pertama di AS. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3pB1OJy7G 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment