Tuesday, November 10, 2015

Hamtramck catat sejarah AS majoriti ahli majlis orang Islam

ISNIN, 9 NOVEMBER 2015 @ 1:11 PM

WARGA muslim berjalan melepasi pasar Polish di bandar Hamtramck di Michigan, Amerika Syarikat. - Sumber csmonitor.com

HAMTRAMCK: Bandar Hamtramck, di Michigan mencatat sejarah apabila majoriti ahli majlis perbandarannya terdiri daripada orang Islam. Pemilihan ahli majlis yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan 22,000 penduduk Hamtramck yang sejarahnya berasal dari Poland, mengundi empat calon ahli majlis Muslim menganggotai panel terdiri daripada enam anggota. Ini menyaksikan calon ahli majlis Muslim itu menguasai dua pertiga daripada kedudukan majlis bandar Hamtramck. Pemimpin masyarakat Hamtramck, Bill Meyer, berkata calon ahli majlis Muslim telah banyak membantu membawa kestabilan, keselamatan dan ketenangan serta mengurangkan kadar jenayah di bandar itu. "Calon ahli majlis Muslim mendapat lebih 1,000 undi manakala tiga calon lain mendapat kurang daripada 700 undi," katanya. Pada tahun 2004, Hamtramck mendapat perhatian di Amerika Syarikat apabila majlis perbandaran membenarkan masjid menyiarkan azan dari pembesar suara. Penduduk beragama lain ketika itu mendakwa ia adalah satu pencerobohan Islam dalam kehidupan mereka walaupun ketika itu hanya seorang ahli majlis bandar beragama Islam. Ketika ini dianggarkan separuh daripada penduduk di Hamtramck beragama Islam dan kajian yang dijalankan penyelidik dari Universiti Michigan-Dearborn, Prof Sally Howell, menjangkakan Hamtramck mungkin telah menjadi bandar pertama yang mempunyai majoriti Islam di Amerika Syarikat. Bancian penduduk Amerika Syarikat mendapati bahawa Hamtramck kini mempunyai 24 peratus penduduk dari Arab, 19 peratus Afrika Amerika, 15 peratus Bangladesh, 12 peratus Poland, dan 6 peratus Yugoslavia. Empat anggota majlis Muslim yang baru, tiga adalah warga Bangladesh dan satu warga Yaman. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/95610

No comments:

Post a Comment