Thursday, November 12, 2015

Husam digesa keluar dari PAS - Dewan Ulama


pada 09-11-2015 06:11 Ditulis Oleh Shuhaniza Said

Post Pic


SHAH ALAM: Dewan Ulama PAS Pusat menyarankan Datuk Husam Musa meninggalkan parti dan menyertai rakan-rakannya yang kini bersama Parti Amanah Negara (Amanah), sekiranya beliau tidak lagi 'bersama' dengan kepimpinan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ujar Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, tindakan tersebut adalah yang paling wajar dilakukan Husam berbanding berterusan mengkritik Hadi secara terbuka bagi menunjukkan rasa tidak puas hati.
 
"Rakan-rakan beliau sudah tinggalkan PAS dan menubuhkan Amanah, Datuk Husam pun sama seperti rakan-rakannya, dia tewas dalam pemilihan dulu.

"Kalau tak puas hati dengan Tok Guru (Abdul Hadi Awang) atau PAS, sepatutnya beliau sama-sama keluarlah mengasaskan Amanah. Tapi (Husam) tak (pula) keluar. Saya pun tak tahu apa strateginya," katanya kepada Antarapos.

Husam baru-baru ini menimbulkan kontroversi apabila mendakwa Hadi pernah mengakui mahu bekerjasama dengan Umno semasa krisis Menteri Besar Selangor tahun lalu.

ADUN Salor itu mengeluarkan kenyataan demikian dalam satu ceramah di Kota Bharu, Khamis lalu, selain mendakwa Hadi sendiri mengakui rancangannya itu semasa bersemuka dengan beberapa pemimpin parti.

Bagaimanapun, tegas Mahfodz, perkara yang dinyatakan Husam itu adalah fitnah kerana isu berkenaan tidak pernah dibincangkan kepimpinan parti.

"Perkara (bergabung dengan Umno) besar macam itu tak boleh dibuat berseorang, perlu dibawa dalam parti. Kalau dibawa dalam parti, mestilah sama ada melalui Majlis Syura, PAS Pusat atau Dewan Harian. Tapi benda itu tak ada," katanya lagi.

Husam dilihat kerap membuat teguran terbuka mutakhir ini, sama ada terhadap kepimpinan parti mahupun pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Minggu lalu, bekas Naib Presiden PAS itu mengritik keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang menaikkan elaun wakil rakyat dan ahli pentadbiran, yang pada pandangan beliau tidak wajar dilakukan di kala situasi ekonomi kini yang menghimpit rakyat.

Walaupun dilihat kritikal terhadap PAS, namun Husam menegaskan bahawa dirinya tetap setia dengan perjuangan parti itu dan 'sebolehnya mahu kekal dalam PAS sehingga mati'.  

Mahfodz yang juga Pesuruhjaya PAS Johor itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pendirian Husam yang ingin kekal dalam parti itu bersangkut paut dengan lafaz bai'ah.

"Kerana bai'ah di Kelantan yang diketuai Allahyarham Tok Guru Nik Aziz yang telah mengusulkan satu bai'ah yang agak keras, negeri lain tak ada, iaitu bai'ah taklik.

"Mungkin kerana takut melanggar bai'ah itu, dia kekal di dalam PAS.. Dan saya rasa dia nak tunggu supaya diambil tindakan.. dengan pemecatannya itu dia akan terlepas daripada tanggungjawab bai'ah," ujarnya lagi sambil menambah, sebarang tindakan boleh dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Disiplin parti sekiranya perkara berkenaan masih berterusan.

No comments:

Post a Comment