SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada hari ini menafikan dakwaan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan dikenakan tindakan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti, pada Selasa ini.
Tengku Adnan berkata, siasatan terhadap kedua-dua pemimpin itu oleh Lembaga Disiplin parti masih berjalan dan Umno tidak akan mengenakan tindakan termasuk memecat atau menggantung ahlinya sesuka hati, lapor sebuah portal.
“Mesyuarat berkenaan yang sepatutnya diadakan pada Jumaat ini diawalkan kepada Selasa kerana masa yang semakin suntuk sebelum Perhimpunan Agung Umno 2015 bulan depan dan diadakan di Parlimen bagi memudahkan ahli MT yang kebanyakannya ahli Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berkhatan Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan 2015 di sini, pagi ini.
Sebelum ini, timbul desas desus mengatakan Muhyiddin dan Shafie akan dikenakan tindakan termasuk dipecat atau digantung daripada parti itu pada mesyuarat MT Umno Selasa ini.