Wednesday, November 25, 2015

Remaja Islam didakwa buat bom mahu pampasan AS$15 juta



AFP - Ahmed memberikan ucapan pada satu sidang akhbar di Capitol Hill, Washington pada 20 Oktober lalu.


CHICAGO – Remaja Islam yang ditangkap selepas seorang guru tersilap menyangka jam yang dibinanya sebagai sebutir bom, mengancam akan menyaman sekolahnya dan bandar Irving, Texas sebanyak AS$15 juta (RM64.37 juta), kata peguamnya kelmarin.
Ahmed Mohamed, 14, menjadi terkenal pada September lalu selepas saudara perempuannya menyiarkan gambarnya di laman Twitter dalam keadaan digari sambil memakai baju-T bersama logo Pentadbiran Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyertai sentimen orang ramai dengan mengucapkan tahniah kepada Ahmed kerana kepintarannya dan mengundang pelajar itu untuk membawa jam tersebut ke White House.
Tindakan Obama memberikan tamparan hebat kepada pihak sekolah dan mereka yang menuduhnya sebagai pengganas hanya kerana dia beragama Islam.
Peguam pelajar itu, Kelly Hollingswoth bagaimanapun menyatakan, di sebalik populariti yang dikecapi Ahmed, insiden itu menyebabkan dia dilanda trauma.
Beliau berkata, anak pasangan imigran dari Sudan yang menetap di bandar Irving, Texas itu membuat sebuah jam untuk menarik perhatian seorang guru baharu di Sekolah Tinggi MacAthur.
Namun, dia dituduh cuba menakutkan orang ramai dengan bom palsu dan digari sebelum dibawa keluar dari sekolahnya.
Peguamnya menegaskan bahawa pihak sekolah, polis dan pentadbiran tempatan telah melanggar hak asasi Ahmed dengan membuat tuduhan palsu dan menahannya sebelum kisahnya menjadi tumpuan media.
“Ahmed menjadi sasaran kebencian kerana bangsanya, kewarganegaraan dan agamanya,” kata Hollingswoth dalam sepucuk surat kepada pihak pentadbiran bandar Irving.
Surat itu menyatakan bahawa Datuk Bandar Irving, Beth Van Duyne menggelarkan jam itu sebagai bom palsu ketika muncul dalam program televisyen AS, Glenn Beck.
Mereka kini berpindah ke Qatar selepas Ahmed ditawarkan biasiswa lumayan.
Peguamnya meminta pampasan AS$5 juta (RM21.45 juta) daripada pihak pendidikan daerah dan AS$10 juta (RM42.91 juta) daripada pentadbiran bandar Irving.
Menurut Hollingswoth, pihaknya akan mengemukakan saman sivil sekiranya tiada jawapan diberikan dalam masa 60 hari. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3sRvZSjRF 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment