LAS VEGAS - AMERIKA SYARIKAT. Janggal. Begitulah keadaannya apabila pengacara pertandingan berprestij Miss Universe 2015, Steve Harvey tersilap mengumumkan pemenang sebenar pertandingan tersebut, semalam.
Menurut laporan CNN, Steve mengumumkan peserta dari Colombia, Ariadna Gutierrez telah memenangi pertandingan tersebut.
Ariadna sempat dipakaikan mahkota Miss Universe dan melambai-lambai kepada para hadirin sambil mengibar bendera Colombia.
Namun Steve yang kemudiannya menyedari kesilapannya mengumumkan nama pemenang bertindak mengambil alih pentas dengan pantas dan meminta maaf.
Mahkota yang dipakai oleh Ariadna kemudian diambil dan dipakaikan kepada pemenang sebenar iaitu peserta dari Filipina, Pia Alonzo Wurtzbach.
Walau bagaimanapun, segala kesilapan yang terakam pada siaran langsung pengumuman pemenang pertandingan tersebut membuatkan Pia berasa janggal.
Sementara itu, Steve memanjangkan permohonan maafnya di laman Twitter.
"Saya rasa sungguh teruk. Saya betul-betul minta maaf kepada peserta Filipina," kata Steve hari ini.
"Saya juga ingin memohon maaf kepada penonton yang berada di rumah dan menyaksikan kesilapan ini. Ia adalah kesilapan saya," akhiri Steve
.