Beijing: Lawatan rasmi ketiga Datuk Seri Najib Tun Razak ke China bukan hanya bersejarah berdasarkan perspektif perniagaan disebabkan ia menyatukan hubungan dua hala tetapi turut mencapai keputusan bersejarah dalam bidang pertahanan.
Perdana menteri berkata dari segi kejayaan perjanjian perdagangan, Malaysia dan syarikat China melakar pencapaian bersejarah menerusi pemeteraian 14 perjanjian bernilai RM144 bilion.
Pada sidang media bersama media Malaysia di sini, semalam, Najib berkata kerajaan Malaysia turut mencapai keputusan bersejarah membeli empat Kapal Misi Litoral (LMS) daripada China, dua daripadanya dibina di China dan dua lagi di Malaysia.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah kapal itu akan ditambah jika Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpuas hati dengan kapal dihasilkan itu yang dijangka dapat disiapkan dalam masa dua tahun.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini kali pertama Malaysia membeli peralatan tentera dari China dan ia dibuat atas cadangan TLDM berdasarkan harganya yang murah serta memenuhi keperluan mereka.
Menurutnya, pembelian itu menggunakan lebihan peruntukan TLDM untuk membaik pulih kapal bagi menggantikan Laksamana-class Corvettes yang perlu diganti.
Najib juga membangkitkan kesalinghubungan udara kepada rakan sejawatannya dari China, Li Keqiang, dengan berharap kerajaan China dapat mengkaji waktu penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines ke negara itu yang kini hanya pada lewat malam atau awal pagi kepada waktu yang lebih selesa kepada penumpang.
Ditanya mengenai jumlah pelaburan dan perjanjian perniagaan besar yang diperuntukkan kepada China berbanding negara lain, Najib berkata keputusan itu dibuat berdasarkan realiti ekonomi, malah sesetengah peluang perniagaan yang diberi kepada China turut ditawarkan kepada negara lain.
Bagaimanapun katanya, negara yang turut ditawarkan itu tidak mempunyai kemampuan kewangan dan kepakaran untuk menerima projek berkenaan.
"Kita turut mengambil kira kebaikan yang kita peroleh daripada perjanjian perniagaan itu," katanya.
No comments:
Post a Comment