Saturday, October 8, 2016

Presiden Filipina Cabar AS, EU Tarik Bantuan Kewangan


Diterbitkan: Jumaat, 7 Oktober 2016 6:26 PM

Rodrigo Duterte

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mencabar Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk menarik semula bantuan kewangan kepada negara ini jika kedua-dua blok itu tidak menyokong kempen memerangi jenayah dadah yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu.
"Sila pergi dan bawa duit anda ke tempat lain. Kami mampu berdiri sebagai sebuah negara.
"Adakah anda melihat kami sebagai peminta sedekah? Kami tetap akan terus hidup walaupun menempuh kesukaran dan kami tidak akan menjatuhkan maruah kami.
"Jika anda mahu menarik semula bantuan, silakan. Kami tidak akan merayu untuk perkara itu," katanya ketika berucap kepada anggota polis di bandar Butuan pada Khamis.
Beliau berkata sedemikian sebagai membalas kenyataan dua Senator AS yang mempertikaikan kempen antidadah di Filipina yang meragut banyak nyawa dan meminta bantuan kepada Manila diteliti semula.
Berdasarkan maklumat kerajaan AS, Filipina dijangka menerima bantuan sebanyak AS$188 (RM779 juta) pada 2017 dan negara itu pernah menerima bantuan kira-kira AS$236 juta (RM978 juta) pada 2015.
Sementara EU menghulurkan dana kewangan sebanyak AS$65 juta (RM269 juta).
Lebih 3,680 orang dilaporkan dibunuh oleh polis dan penyerang tidak dikenali sejak Duterte mengambil-alih tugas Presiden pada 30 Jun lalu.
Perkembangan itu sekali gus mengundang kritikan kumpulan hak asasi antarabangsa terhadap kempen Duterte memerangi jenayah dadah di Filipina.

No comments:

Post a Comment