Wednesday, September 14, 2011

P’raya: Mahathir mula tekan Najib?

Datuk Mahfuz Omar 

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Tekanan seperti apa yang berlaku pada zaman pemerintahan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) makin terasa apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mula menyuarakan pendapatnya agar pilihan raya tidak diadakan dalam masa terdekat.
Mahathir berpendapat jika pilihanraya diadakan pada secepat yang mungkin ia tidak akan memberi kemenangan mahupun berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tempoh masa yang panjang bagi meneliti kembali senarai calon-calon yang ingin bertanding pada pilihanraya nanti.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang berkata pada satu sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahathir itu memberi gambaran yang jelas bahawa wujud permasalahan sama ada di dalam Umno mahupun BN.
"Teguran yang disuarakan oleh Mahathir itu jelas menggambarkan berlakunya permasalahan sama ada di dalam Umno mahupun BN dan saya tidak menolak beliau mula memainkan peranannya bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri sekarang, inilah yang berlaku pada pemerintahan Pak Lah dulu.
"Tindakan Mahathir yang mahukan BN mengambil masa yang lebih panjang bagi meneliti kembali senarai calon agar memastikan kemenangan kepada BN bukan hanya tertumpu kepada senarai nama yang lain malah ia lebih memfokuskan kepada kedudukan Najib sebagai Pengerusi BN.
"Mesej yang jelas membuktikan Najib tidak lagi dapat memberi kemenangan kepada BN pada pilihanraya yang akan datang," jelasnya.
Tambah Mahfuz lagi, Mahathir juga dilihat sebagai "mastermind" dalam perancangan agar Najib berundur sebelum berlangsungnya pilihanraya umum nanti.
Malah tidak mustahil akan ada mereka yang menjadi pengikut telunjuk Maahathir.
"Mahathir akan cuma memberi tekanan dam memastikan Najib berundur sebelum pilihanraya nanti dan beliau sendiri dilihat sebagai mastermind dalam usaha tersebut, saya pasti apabila kenyataan yang disuarakan oleh beliau itu akan ada mereka yang di dalam Umno mahupun BN menjadi pengikut telunjuk serta menyokong pendapat yang beliau utarakan itu.
"Bagi memastikan kemenangan kepada BN, pengerusinya perlu ditukar dan orang akan melihat siapa ketua sebelum membuat pilihan, inilah yang dimaksudkan oleh Mahathir," sambung Mahfuz lagi.
Sebelum ini, Mahathir telah mengeluarkan pendapat beliau pada satu forum yang diadakan di Putrajaya yang menyatakan pemilihan calon yang boleh menang dalam pilihan raya akan menimbulkan masalah antara pucuk pimpinan dan peringkat.
Calon yang boleh menang dalam pilihan raya bergantung kepada penilaian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan penasihat dalam menentukan calon yang akan bertanding.

Al-Qaeda keluar video Osama sempena 11 Sept.



HONG KONG 13 Sept. - Al-Qaeda semalam mengeluarkan satu rakaman video bekas pemimpin mereka yang dibunuh, Osama bin Laden, sempena ulang tahun serangan ke atas Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001.
Menurut Kumpulan Perisikan SITE, rakaman video selama 62 minit bertajuk 'The Dawn of Imminent Victory' dan belum pernah diterbitkan sebelum ini, turut memuatkan ucapan ketua baru al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri yang dilantik menggantikan Osama selepas pembunuhannya pada Mei lalu.
Video yang diterbitkan oleh media al-Qaeda, as-Sahab itu, bagaimanapun hanya menunjukkan gambar Ayman yang kini menjadi lelaki paling dikehendaki oleh Washington, selepas Osama dibunuh oleh tentera elit AS di tempat persembunyiannya di Abbotabad, Pakistan.
Seperti Osama, Ayman turut bersembunyi sejak AS mengisytiharkan perang ke atas pengganas selepas serangan 11 September.
Menurut SITE, video sempena ulang tahun serangan 11 September itu disiarkan pada forum jihad, semalam.
Dalam rakaman itu, Osama mencadangkan rakyat AS membaca buku "Obama War' yang ditulis oleh Bob Woodward yang memperincikan tentang perbalahan proses membuat keputusan di kalangan tentera AS serta memberitahu slogan kempen Presiden Barack Obama 'Yes, we can' tidak benar.
Ayman pula banyak berbicara tentang kejadian di masa lalu termasuk revolusi di dunia Arab dan kematian Obama.
Beliau menyuarakan sokongan al-Qaeda kepada revolusi itu dan berharap akan membangunkan Islam sebenar serta kerajaan berlandaskan syariah, sesuatu yang berbeza dengan laporan media sebelum ini.
AS pada Ahad lalu mengadakan upacara bagi memperingati ulang tahun ke-10 peristiwa serangan berdarah itu dalam majlis yang penuh emosi dan kawalan ketat. - AFP

Seludup dadah dalam sandal wanita gagal




M. Govinden (tengah) menunjukkan bungkusan bahan kristal dipercayai syabu yang dirampas daripada warga Afrika di KLIA pada sidang akhbar di KLIA, Sepang, semalam.


PUTRAJAYA 13 Sept. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan menyeludup dadah bernilai RM915,000 melibatkan dua kes berasingan dalam tempoh seminggu.
Pengarah JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Datuk M. Govinden berkata, kes pertama membabitkan cubaan menyeludup bungkusan mengandungi syabu dan heroin ke Indonesia melalui perkhidmatan pos ekspres, Rabu lepas.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bungkusan tersebut mengandungi tiga pasang sandal wanita yang pada tapaknya dilekatkan 397 gram syabu dan 211 gram heroin.
"Pengirim menggunakan alamat di Lot 133, Rumah Panjang, Jalan Pasir Ujung yang tidak wujud melalui pejabat pos di Banting dan mengisytiharkan bungkusan itu sebagai kiriman hadiah.
"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dalam kes itu RM140,000," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Govinden berkata, kes kedua pula melibatkan penahanan seorang lelaki warga Afrika berusia awal 30-an semalam yang cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini.
Menurutnya, suspek ditahan sebaik sahaja tiba di KLIA dengan menaiki pesawat EgyptAir dari Kaherah sambil membawa satu beg bimbit berwarna coklat pukul 7.30 malam.
"Ketika diperiksa, beg yang dibawa suspek mencurigakan kerana kedua-dua bahagian dinding beg itu kelihatan agak tebal.
"Setelah dibuka dan diperiksa, setiap dinding beg itu menyembunyikan satu bungkusan dadah jenis syabu seberat 3.1 kilogram yang dianggarkan bernilai RM775,000," katanya.
Kata beliau, suspek kini direman selama seminggu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
Dalam perkembangan lain, pihaknya berjaya menumpaskan cubaan untuk menipu hasil kerajaan dengan mengelak cukai bernilai hampir RM170,000 menggunakan dokumen palsu dan mengikrar secara tidak benar.
"Pada 7 September pada pukul 1.30 pagi, sebuah lori yang membawa dagangan yang diikrarkan sebagai 100 karton penyegar udara kereta (membabitkan cukai 10 peratus) ditahan di Zon Perdagangan Bebas (FZC), KLIA.
"Pemeriksaan mendapati dagangan yang dibawa adalah 100 karton tembakau kunyah (Pan Parag) yang melibatkan duti import sebanyak lima peratus bagi setiap 50 kilogram dan 10 peratus cukai jualan," katanya.
Katanya, semua barang rampasan berkenaan disita dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967.

22 pengikut Syiah ditembak mati




ORANG ramai berkumpul di bilik mayat sebuah hospital untuk menuntut mayat keluarga mereka yang terbunuh dalam kejadian serangan oleh kumpulan bersenjata di Karbala, 80 kilometer ke barat daya Baghdad, semalam. – REUTERS


KARBALA, Iraq 13 Sept. – Sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati 22 pengikut Syiah yang dalam perjalanan ke Syria dari bandar ini ketika melalui wilayah yang dihuni oleh majoriti penduduk Sunni.
Insiden berlaku di Nukhaib, wilayah Anbar, kira-kira 200 kilometer ke barat Karbala, apabila bas yang dinaiki jemaah Syiah itu dihalang kumpulan bersenjata pada kira-kira pukul 9.30 petang (6 perang waktu Malaysia), semalam.
Menurut seorang pegawai Karbala yang enggan dikenali, kumpulan itu mengenakan pakaian tentera dan polis serta mendirikan sekatan jalan raya.
“Mereka memberhentikan bas itu dan mengarahkan semua penumpang turun sebelum mengasingkan antara wanita, kanak-kanak dan lelaki.
“Mereka kemudiannya menembak semua penumpang lelaki dan melarikan diri,” kata pegawai itu.
Jeneral polis Haider Rzayj memberitahu bas berkenaan dihalang oleh sekumpulan lelaki bersenjata dan membunuh penumpang lelaki, sebelum mengarahkan mangsa baring di atas tanah. – AFP

Kamar khas untuk penuhi fitrah seksual banduan

JAKARTA: Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Patrialis Akbar berkata, kementeriannya bakal membekalkan kemudahan khas untuk banduan di penjara.
“Saya sudah meminta kementerian mengkaji kertas cadangan itu. Nampaknya mereka memerlukannya,” katanya.
Menurutnya, keperluan fitrah biologi tahanan termasuk seks perlu diambil kira.
“Saya rasa keperluan seksual lelaki dan wanita perlu dipertimbangkan. Saya juga sudah memikirkan mengenainya.
Beliau menjelaskan bilik tahanan perlu terurus dan terkawal. Contohnya, hanya mereka yang sudah berkahwin dibenarkan menggunakannya.
“Prosedur perlu jelas. Ia tidak boleh menjadi punca kepada masalah baru,” katanya.

Pendapat mengenai kamar khas di penjara timbul selepas disarankan seks adalah keperluan setiap manusia termasuk banduan.

Suami isteri cuba jual anak ditahan

SURABAYA: Polis semalam menahan sepasang suami isteri kerana disyaki menjual anak lelaki mereka berusia dua bulan dengan harga 8 juta rupiah (RM2,834).
Zaenal and Rahma Anisa didakwa menawarkan bayi mereka kepada jiran tetangga sebelum beberapa jiran melaporkan kejadian itu di balai polis Sukomanunggal di sini.

Ketua balai polis Sukamanunggal, Komisioner Muhammad Baderi berkata, pasangan berkenaan cuba menjual anak mereka bagi mendapatkan wang untuk membayar bil bersalin di sebuah hospital di Jakarta.

“Mereka tidak mampu membayar bil bersalin kerana kedua-duanya tidak bekerja,” katanya.

Ketua Al-Qaeda doa AS dilanda musim sejuk melampau

DUBAI: Ketua kumpulan Al-Qaeda mendoakan, selepas gelombang revolusi dan tunjuk perasaan yang melanda dunia Arab, Amerika Syarikat akan dilanda musim sejuk yang melampau.
Video ucapan beliau daripada sebuah laman web yang diawasi oleh Agensi Perisikan SITE, disiarkan kepada umum sebagai memperingati 10 tahun peristiwa serangan 11 September.
Dalam ucapannya selama 62 minit dalam video bertajuk “The Dawn of Imminent Victory,” ketua kumpulan Al-Qaeda yang baru, Ayman al Zawahiri berkata,“Selepas revolusi Arab, kami memohon kepada Allah supaya Amerika akan mengalami musim sejuk yang melampau.”

Video itu turut menyiarkan ucapan bekas ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden yang telah dibunuh di Pakistan oleh pasukan komando AS pada 2 Mei lalu.


Di dalam video itu, Ayman turut menasihati pihak berkuasa Palestin supaya mendapatkan status kenegaraan selewatnya akhir bulan ini untuk mengelakkan lebih ramai “rakyatnya terbunuh” dan mengelakkan pengiktirafan negara Israel.

Polis tumpas geng curi kereta

RIYADH: Polis berjaya menahan empat lelaki mencuri kereta di bandar Riyadh.
Empat lelaki itu menyembunyikan diri di sebuah kawasan persendirian, dan ketika polis melakukan serbuan, tiga buah kereta ditemui.
Polis bertindak setelah mendapat maklumat orang ramai mengenai aktiviti yang mencurigakan di kawasan Al-Hazem, yang disewakan kepada tiga orang lelaki. Mereka meletakkan kenderaan yang dicuri di situ.

Anggota polis mengawasi lokasi tersebut dan setelah yakin dengan kegiatan jenayah itu, mereka terus melakukan serbuan.


Suspek cuba untuk melarikan diri tetapi anggota polis telah mengepung tempat itu.

Anggota polis menemui tiga buah kereta curi di dalamnya di mana nombor plat kenderaan telah ditukar dan mereka dalam proses untuk menukar warna kenderaan itu.

Beberapa botol arak yang sedia untuk diedarkan turut dijumpai di tempat persembunyian mereka.

Pihak polis menerima banyak aduan mengenai kehilangan kereta daripada penduduk.

Kumpulan itu menggunakan taktik yang berlainan untuk mencuri kereta seperti melanggar kereta pemilik kenderaan dari belakang. Apabila mangsa keluar untuk menyiasat keadaan kenderaan, seorang daripada mereka akan melompat keluar dan terus mencuri kereta mangsa.

Kumpulan itu turut cekap mencuri kereta yang ditinggalkan dengan enjin yang masih hidup ketika pemandunya keluar untuk membeli barang di kedai di tepi jalan. -AN 

Mayat reput dijumpai dalam tangki air

DUBAI: Penduduk di sebuah bangunan di Karama, merasa mual apabila mendapat tahu ada mayat dijumpai terapung dalam air yang mereka gunakan sejak tiga hari lalu.
Polis tiba di bangunan tiga tingkat Obaid dan Rashid, di belakang stesen Metro Karama setelah mendapat panggilan daripada penjaga yang menjumpai mayat yang sudah busuk di dalam tangki atas bangunan itu pada jam 9.30 pagi.
Mangsa dikenali sebagai Sushil Panti, seorang pembantu rumah berusia 35 tahun dari Nepal yang bekerja dengan majikannya dari India, yang tinggal di bangunan yang sama.

Dipercayai dia membunuh diri dengan melompat ke dalam tangki air itu.


“Siasatan awal mendapati tiada tanda jenayah dan kes ini mungkin kes bunuh diri,” kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kolonel Salem Al-Rumaithi.

128 murid dipaksa jadi pelacur

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 128 murid sekolah di Pontianak, Kalimantan Barat dipaksa menjadi pelacur antara 2008 dan 2010, dedah satu penyelidikan Yayasan Nanda Dian Nusantara.
“Kami menjaga mereka kerana kerajaan tidak melakukan apa-apa. Malah, lapan daripada kanak-kanak itu yang datanya kami hantar kepada kerajaan sebenarnya sudah dibuang sekolah,” kata Pengerusi yayasan itu, Devi Tiomana sebagaimana dipetik daripada kompas.com.

Menurutnya, semua kanak-kanak itu masih terlibat dengan kegiatan pelacuran dan seorang daripadanya dijangkiti HIV/Aids.

Devi menerangkan sejak tahun ini, yayasannya menyediakan bantuan kepada kanak-kanak terbabit antaranya pemeriksaan kesihatan dan pendidikan.

Beliau berkata, menjaga pelacur kanak-kanak tidak mudah kerana pelbagai isu perlu ditangani.

“Sejujurnya, kami tidak mampu beroperasi sendirian. Kerajaan perlu terlibat sama,” katanya. - JP

lagi-lagi bangang


Kariah masjid buat laporan polis 
Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@bharian.com.my
2011/09/14

Khatib didakwa baca khutbah bukan disediakan JAIS, sokong kenyataan Mat Sabu

BUKIT BERUNTUNG: Seramai 35 ahli kariah Masjid As Salam di sini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang khatib membaca khutbah Jumaat tanpa menggunakan teks Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), selain tanpa segan silu menyokong kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mendakwa komunis adalah pejuang kemerdekaan sebenar dalam khutbahnya.
Laporan dibuat jam 5.35 petang di Balai Polis Bukit Sentosa di sini, kelmarin bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap khatib terbabit yang juga seorang guru agama sebuah sekolah rendah di sini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Hulu Selangor, Mahmud Karim.

Wakil ahli kariah masjid terbabit, Sahak Azan, 52, berkata penduduk Islam di kawasan itu marah dan kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab khatib berkenaan yang boleh memecah belahkan perpaduan ahli kariah di kawasan itu.

“Kami amat marah kerana khatib terbabit cuba memutar belitkan fakta termasuk tidak mengiktiraf beberapa tokoh dan pejuang kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn Jaafar dan Tun Abdul Razak Hussin yang berjasa kepada negara,” katanya kepada Sentral, kelmarin.

Beliau berkata, tindakan perlu diambil supaya kejadian sama tidak berulang.
Akhbar ini Sabtu lalu melaporkan khatib terbabit membaca khutbah Jumaat di hadapan kira-kira 3,000 jemaah di masjid itu, Jumaat lalu tanpa membaca teks disediakan JAIS sambil dengan berani menyokong pendirian Mat Sabu yang mendakwa komunis adalah pejuang kemerdekaan sebenar.

Sahak berkata, ahli kariah juga berharap jawatankuasa masjid berkenaan juga sentiasa peka dan sensitif dengan isu ini supaya tidak melakukan kesalahan sama demi perpaduan umat Islam dalam kariah ini.

Sementara itu, bekas ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan, Yaziz Yunus, berkata ahli kariah juga akan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor dan JAIS berhubung tindakan khatib terbabit. 

Bangang forever dulu, kini dan selamanya


Haniff syor tindakan ikut Akta Hasutan


2011/09/14

HISHAMMUDDIN (dua dari kanan) bersalaman dengan Hanif Omar selepas mengadakan perjumpaan dengan Bekas Ketua dan Timbalan Polis Negara, di Putrajaya, semalam.
HISHAMMUDDIN (dua dari kanan) bersalaman dengan Hanif Omar selepas mengadakan perjumpaan dengan Bekas Ketua dan Timbalan Polis Negara, di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA: Bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar, berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak perlu dikenakan terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu berhubung kenyataannya yang memutar belit fakta sejarah dengan mendakwa pengganas komunis adalah pejuang kemerdekaan sebenar.

Sebaliknya, beliau berkata, Mat Sabu boleh dikenakan tindakan lain iaitu mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan kerana kenyataannya yang menggempar dan menakutkan masyarakat.
“Siasatan terhadap Mat Sabu boleh dijalankan kerana pelbagai pihak terperanjat dengan kenyataannya dan ada antara mereka yang cemas dengan dakwaannya itu.
Sekiranya polis sudah menyiapkan siasatan, Peguam Negara perlu faham iaitu kepentingan awam mesti diambil kira dalam menentukan sama ada keputusan untuk mendakwa Mat Sabu dipercepatkan atau sebaliknya. - Haniff Omar, Bekas Ketua Polis Negara
“Dia (Mat Sabu) sudah jauh tersilap dari segi fakta sejarah dan beliau langsung tidak menyesal kerana mengeluarkan kenyataan seperti itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perbincangan antara Bekas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mat Sabu baru-baru ini bahawa pengganas komunis adalah pejuang kemerdekaan ketika berceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Pada masa sama, Haniff berkata, sekiranya polis sudah selesai menjalankan siasatan, Peguam Negara perlu mengambil kira kepentingan awam untuk mempercepatkan pendakwaan terhadap Mat Sabu.

“Sekiranya polis sudah menyiapkan siasatan, Peguam Negara perlu faham iaitu kepentingan awam mesti diambil kira dalam menentukan sama ada keputusan untuk mendakwa Mat Sabu dipercepatkan atau sebaliknya,” katanya.
Sebelum ini, ketika menjadi panel Wacana Merdeka bertajuk ‘Peristiwa Bukit Kepong: Siapa Wira Sebenar’, Hanif menyifatkan kenyataan Mat Sabu sebagai kenyataan yang bersifat hasutan.

11 maut, 212 cedera kereta api rempuh bus





2011/09/14

BUENOS AIRES: Sebelas terbunuh manakala 212 lagi cedera apabila kereta api merempuh sebuah bas sebelum dilanggar satu lagi kereta api di stesen pinggir bandar barat daya Buenos Aires, semalam. 

Anggota bomba dan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit dari celah gerabak yang remuk untuk dibawa ke hospital berhampiran.
Polis berkata, setakat ini 11 orang disahkan maut manakala 30 yang lain parah dan kemungkinan angka kematian akan meningkat.
Setiausaha Pengangkutan Argentina, Juan Pablo Schiavi menyifatkan nahas itu adalah yang terburuk dan membabitkan korban paling ramai. 

Nahas berlaku jam 7 pagi waktu tempatan apabila ribuan penumpang kereta api bergegas untuk ke tempat kerja di Daerah Flores. 

"Sebuah kereta api yang memasuki stesen Flores merempuh sebuah bas di Laluan 92 dengan mengheretnya di sepanjang platform,” kata Gustavo Gago, jurucakap pengendali kereta api Buenos Aires. 

“Pada masa yang sama, satu lagi kereta api memasuki stesen dan melanggar bas berkenaan," katanya. - AFP 

Bekas Presiden Argentina bebas tuduhan seludup senjata





2011/09/14

BUENOS AIRES: Mahkamah Argentina hari ini membebaskan bekas Presiden, Carlos Menem hari daripada tuduhan terbabit dalam penyeludupan senjata api ke Croatia dan Ecuador pada 1990-an. 

Menem, yang menjadi presiden dari 1989 hingga 1999 dan kini adalah senator boleh menghadapi hukuman sehingga 12 tahun penjara jika disabitkan kesalahan.
Beliau dituduh menyeludup keluar dengan kapal 6,500 tan senjata api ke Croatia dan Ecuador menerusi Panama dan Venezuela.
“Carlos Saul Menem kini dibebaskan daripada dakwaan terhadapnya," kata hakim perbicaraan yang bermula sejak Oktober 2008. 

Dalam kes sama, 17 orang yang turut didakwa termasuk bekas menteri, pesara pegawai tentera dan pengeluar senjata. - AFP 

Bendera gergasi Palestin dekat pejabat EU




SEBUAH bendera Palestin dikibarkan dekat ibu pejabat Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Belgium semalam.


BRUSSELS - Para aktivis pertubuhan Avaaz telah meletakkan sebuah bendera Palestin gergasi dekat ibu pejabat Kesatuan Eropah (EU) di sini semalam.
Tindakan itu dilakukan bagi mendesak supaya EU mengundi untuk mengiktiraf kemerdekaan Palestin.
Menurut tinjauan pendapat yang dilakukan oleh syarikat YouGov, 76 peratus rakyat Jerman, 59 peratus penduduk Britain dan 69 peratus warga Perancis menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang kini diduduki Israel. - Agensi

Tuesday, September 13, 2011

Filem Bukit Kepong berdasarkan sejarah sebenar - Jins



JINS Shamsuddin pada sidang akhbar khas mengenai filem Bukit Kepong di Studio Panca Delima, Hulu Kelang, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 12 Sept. - FilemBukit Kepong yang mengisahkan serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong dibuat berdasarkan sejarah sebenar tragedi berdarah pada 23 Februari 1950 itu, bukannya mengikut perspektif UMNO seperti dituduh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Pengarahnya, Tan Sri Jins Shamsuddin berkata, beliau membuat penyelidikan rapi dengan menemu bual bekas anggota komunis yang terbabit dalam serangan itu, waris mangsa serta ahli keluarga terdekat Muhammad Indera, lelaki tempatan yang bersekongkol dengan pengganas komunis.
Justeru itu, beliau menolak kenyataan Mohamad atau Mat Sabu yang menganggap 200 anggota Pasukan Kompeni Keempat, Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh 25 anggota keselamatan serta ahli keluarga mereka dalam tragedi itu, ialah hero sebenar.
Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan kononnya Muhammad Indera mengetuai operasi itu bagi 'mengajar' anggota keselamatan yang mabuk.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Mat Sabu bahawa filem ini dihasilkan berdasarkan perspektif UMNO hanya kerana saya ahli UMNO. Filem ini digarap berdasarkan fakta sejarah yang sebenar dan saya sendiri menetap di Pagoh, Johor selama setahun.
"Saya sendiri membuat penyelidikan dan hasil penyelidikan tersebut, faktanya langsung tidak bercanggah dengan apa yang diberikan oleh pihak polis. Malah, ahli keluarga Muhammad Indera sendiri datang berjumpa dengan saya bagi berbincang mengenai filem ini.
"Muhammad Indera terlibat secara langsung dalam serangan ini. Benar dia tidak membunuh dan ada menyuruh beberapa mangsa supaya melarikan diri tetapi hasil arahan dia yang menyebabkan 25 nyawa menjadi korban," katanya kepada pemberita di Studio Panca Delima di sini hari ini.
Beliau mengadakan sidang akhbar khas itu bagi mengulas kenyataan biadab Mat Sabu yang memperlekehkan pergorbanan anggota keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong, sebaliknya mengagungkan pula pengganas komunis sebagai hero sebenar.
Mat Sabu semasa berceramah di Padang Menora, Tasik Gelugur dilaporkan berkata: "Dekat nak merdeka nanti, siarlah cerita mengenai Bukit Kepong. Bukit Kepong ini, polis yang mati polis British. Hat (yang) serang Bukit Kepong itulah pejuang kemerdekaan sebenar, yang serang itu Mat Indera.
"Jins Shamsuddin buat filem, Jins Shamsuddin ini orang UMNO. Cerita Bukit Kepong (yang dibuat Jins) hat serang itu pula jahat, hero yang mempertahan balai polis. Padahal Mat Indera yang mengetuai operasi itu akhirnya dihukum gantung."
Mengulas lanjut mengenai penyelidikannya, Jins berkata, berdasarkan keterangan daripada bekas anggota komunis, mereka mengesahkan bahawa operasi itu diketuai Mat Indera dan bekas guru agama tersebut yang bertanggungjawab mengarahkan serangan melalui tiupan trompet.
Tambahnya, operasi berkenaan juga dirancang dengan begitu rapi dan pengganas komunis sudah mula mengambil posisi dari atas Bukit Kepong sejak petang sebelum serangan bermula lagi.

Paip minyak meletup, 100 penduduk mati

NAIROBI: Kira-kira 100 orang maut apabila paip minyak meletup dan terbakar di kawasan miskin di ibu kota Kenya, semalam.
Kata komander polis kawasan, Thomas Atuti, “Kami sedang menunggu beg mayat.”
Letupan berlaku di kawasan perindustrian Lunga Lunga yang dikelilingi oleh kawasan setinggan Sinai yang padat.

Seorang penduduk, Joseph Mwego berkata, “Ada kebocoran di paip itu dan penduduk menadah minyak yang keluar.


“Kemudian terdengar satu letupan yang kuat, diikuti api besar dan asap tebal,” katanya. - AFP

Lakonan percuma Bachchan dalam The Great Gatsby


TOKOH veteran, Amitabh Bachchan.
TOKOH veteran, Amitabh Bachchan.

MUMBAI: Bintang Bollywood Amitabh Bachchan berkata, beliau akan berlakon secara percuma dalam filem Hollywood pertamanya arahan pengarah Baz Luhrmann yang diadaptasikan dari novel klasik 'The Great Gatsby'.

Pelakon berusia 68 tahun itu, dilaporkan menulis dalam blognya pada Ahad beliau akan membuat kemunculan seperti dalam filem berkenaan yang turut dibintangi oleh Leonardo DiCaprio, Tobey Maguire dan Carey Mulligan.
Watak yang akan dilakonkan Bachchan, Meyer Wolfsheim, adalah bayangan tokoh jenayah berkumpulan yang membantu jutawan misteri, Jay Gatsby membuat wang dalam novel tulisan F. Scott Fitzgerald pada tahun 1925.
Pelakon yang dikenali sebagai ‘Big B’ di kalangan berjuta peminatnya di India dan seluruh dunia berkata beliau bersetuju untuk terbabit dalam filem itu selepas Luhrmann, seorang peminat filem Bollywood melawat India tahun lalu.

“Beliau menghubungi bulan lalu dan bertanyakan jika saya mahu terbabit dalam peranan kecil dalam filemnya dan saya terus bersetuju. Ia adalah satu petanda baik. Saya menolak sebarang bayaran dalam filem ini juga,” tulis beliau dalam bigb.bigadda.com, yang juga komen pertamanya mengenai filem berkenaan.

Bachchan melawat Australia bulan lalu tetapi tidak mendedahkan tujuan kunjungannya. Pada Ahad beliau mendedahkan bahawa beliau berada di Sydney untuk membaca skrip awal bersama pelakon selain terbabit dalam raptai dandanan rambut dan kostum.

“Ia satu pengalaman menarik menjadi sebahagian daripada sistem mereka (Hollywood) dan memantau dengan teliti kerja mereka,” katanya.
Bachchan disifatkan sebagai seorang tokoh veteran dalam filem Hindi dan berlakon lebih 150 filem. Beliau dikenali kerana peranannya dalam filem tahun-tahun 1970-an seperti Sholay, Deewaar dan Don. – AFP 

Monday, September 12, 2011

Helikopter terhempas, 5 selamat



TIMIKA 11 Sept - Sebuah helikopter penyelamat Indonesia yang pada mulanya dikuatiri terhempas di wilayah terpencil Papua semasa melakukan misi mencari dua juruterbang warga asing yang hilang dilaporkan selamat dan berada dalam keadaan baik.
Menurut Komander Christian Tuhuteru, helikopter Bell 412 yang membawa lima askar Indonesia ditugaskan untuk mencari dua juruterbang Australia dan Slovakia yang hilang setelah pesawat milik Cessna milik Air Susi yang mereka naiki terhempas kelmarin.
Namun, helikopter itu terputus hubungan dengan pihak berkuasa selama 20 minit selepas ia berlepas dari bandar perlombongan Timika.
"Mungkin terdapat kegagalan sistem komunikasi pada helikopter, kerana itu mereka tidak dapat melaporkan kepada kami tentang kedudukan mereka, tambahan pula cuaca buruk," katanya.
Kesemua lima anak kapal dan juruterbang helikopter itu dilaporkan selamat serta helikopter itu dalam keadaan baik.
"Oleh itu, mereka boleh meneruskan misi mencari dan menyelamat dua juruterbang pesawat Susi Air itu," ujarnya. - AFP/AP

Filipina bunuh 3 anggota Abu Sayyaf

ZAMBOANGA: Tentera Filipina semalam menembak mati tiga anggota pelampau yang ada hubungan dengan Al-Qaeda.
Ia berlaku dalam pertempuran di Pulau Basilan, selatan Filipina.

Pertempuran dengan anggota Abu Sayyaf, militan tempatan di pulau ini menjadi bukti usaha berterusan pihak berkuasa negara itu memerangi keganasan walaupun 10 tahun selepas peristiwa 9/11, kata jurucakap tentera, Kolonel Alexander Macario.

“Ini menunjukkan kami tidak pernah berhenti daripada memerangi keganasan di negara ini,” katanya.

Dalam kejadian semalam, pasukan khas antikeganasan Filipina menjejaki militan Abu Sayyaf dan membunuh tiga anggota kumpulan itu serta memaksa yang lain melarikan diri.

Menurut Macario, kumpulan yang terbabit dalam pertempuran dengan tentera itu mempunyai kaitan dengan beberapa siri penculikan di selatan negara itu sejak beberapa tahun lalu.


Antara mangsa mereka ialah aktivis keamanan Sri Lanka yang diculik pada 2009.

Abu Sayyaf ialah kumpulan militan kecil yang diasaskan pada 1990 dengan pembiayaan al-Qaeda dan didakwa bertanggungjawab terhadap beberapa serangan terburuk di negara itu, termasuk pengeboman sebuah feri yang meragut lebih 100 nyawa pada 2004. - AP

Chairul, 2, merokok


ARDI mengejutkan dunia dua tahun lalu dengan tabit merokoknya ketika masih berusia dua tahun.
ARDI mengejutkan dunia dua tahun lalu dengan tabit merokoknya ketika masih berusia dua tahun.

JAKARTA: Seorang kanak-kanak Indonesia yang menjadi terkenal seluruh dunia tidak lama dulu kerana merokok pada usia dua tahun, sudah menghentikan tabiat itu.
Bagaimanapun, dia memberitahu ibunya, dia akan merokok semula kecuali dia dibelikan mainan.

Ardi Rizal ditemui oleh sebuah stesen televisyen Amerika Syarikat, ABC, dan menjadi terkenal apabila satu rakaman video yang menunjukkan dia merokok tersebar luas.

Program itu bagaimanapun mendapati Ardi bukan satu-satunya kanak-kanak yang menghisap rokok di Indonesia apabila mereka menemui seorang lagi perokok, juga berusia dua tahun bernama Chairul, yang tinggal di sebuah perkampungan nelayan di Jawa Timur.

Chairul dilihat terus merokok selepas bangun tidur, dengan bantuan datuknya.

Si datuk memberitahu rancangan berkenaan, dia membenarkan Chairul merokok kerana rasanya enak, seperti roti dengan cokelat.


Ketika Chairul merokok di sebelahnya, lelaki itu berkata, ia bukan satu masalah.



“Dia kadang-kadang merokok dua kotak sehari. Dia akan tidak sihat jika tidak merokok.
“Ia tidak akan mendatangkan masalah selagi dia minum kopi secukupnya sambil merokok,” kata lelaki itu.


Di satu bandar lain, rancangan 20/20 ABC itu menemui seorang budak berusia tujuh tahun, Maulana, yang mahir mengeluarkan asap berbentuk bulatan sambil ibunya melihat dia merokok.


Maulana menghabiskan sekotak rokok sehari.


Ibunya berkata, dia sedar tabiat itu membahayakan kesihatan dan boleh membawa maut, tetapi dia tidak mampu melarang kanak-kanak itu daripada terus merokok. “Dia akan lemah dan mula menangis,” kata wanita itu.


Program itu menyalahkan syarikat tembakau kerana mengambil kesempatan terhadap kelemahan undang-undang pengiklanan bagi mensasar golongan muda Indonesia.


Indonesia tidak menetapkan had umur untuk membeli rokok.


Kru program itu juga menjejaki Ardi, yang kini berusia empat tahun dan tinggal di Sumatera. Ketika ditemui, dia memakai cerminta mata hitam ranggi.


Kanak-kanak itu berhenti merokok selepas pegawai Indonesia yang malu bertindak menghantarnya menjalani pemulihan.


Bagaimanapun, ibunya berkata, dia menggunakannya untuk mengancam.


“Jika saya tidak membelikannya mainan, dia ancam untuk merokok semula,” kata ibunya.


Ketika Ardi ditanya sama ada dia masih merokok, kanak-kanak itu menjawab dia tidak akan merokok lagi.


Tetapi ibunya berkata, dia menangkap Ardi bersama rokok baru-baru ini kerana ada orang yang memberinya. - Agensi

Israel pindah diplomat di Mesir





2011/09/12

KAHERAH: Israel berdepan krisis terburuk dengan Mesir dalam tempoh 30 tahun selepas terpaksa memindahkan diplomat dan keluarga mereka ke tempat selamat ketika kedutaan rejim Zionis itu di Kaherah diserang penduduk tempatan. 

Kepungan terhadap kedutaan berakhir dengan 86 warga Israel dipindahkan selepas campur tangan Rumah Putih berikutan panggilan telefon antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Serangan itu ialah krisis diplomatik terbaru menyelubungi kerajaan Yahudi itu, yang sedia berdepan masalah ketegangan dengan Turki sejak sembilan hari lalu.
Israel turut berdepan tsunami diplomatik di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lewat bulan ini apabila majoriti negara dijangka menyokong pengiktirafan negara merdeka Palestin. 

Serangan ke atas kedutaan, yang menyaksikan pagar keselamatan dimusnahkan dan sekumpulan penunjuk perasaan masuk ke pintu kawasan selamat bangunan berkenaan, akan menjejaskan dengan teruk kepada hubungan aman kedua-dua negara, kata Netanyahu. 

Beliau juga menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan besar ke atas amalan diplomatik yang diterima. 

Netanyahu bermalam di bilik operasi Kementerian Luar yang menangani krisis itu. Lapan diplomat dan keluarga mereka dipindahkan dengan pesawat tentera Israel tetapi enam lagi kakitangan terperangkap di dalam bangunan. 
Ada satu pintu memisahkan mereka daripada penunjuk perasaan, kata pegawai, yang menggambarkan malam berkenaan sebagai amat dramatik dan tegang. 

Bagaimanapun, keenam-enam yang terperangkap itu berjaya diselamatkan komando Mesir selepas campur tangan Amerika. 

Obama bercakap dengan Netanyahu pada malam berkenaan, kata Rumah Putih. Beliau turut merayu Mesir untuk menghormati kewajipan antarabangsa. 

Perdana Menteri Britain, David Cameron, turut mengutuk serangan itu dan mendesak Kaherah mematuhi tanggungjawabnya menurut Konvensyen Vienna untuk melindungi kakitangan dan harta diplomatik. 

Tiga maut ketika bantahan itu di Kaherah dan sekurang-kurangnya 1,093 cedera, menurut Timbalan Menteri Kesihatan Mesir. 

Sentimen anti-Israel di Mesir memuncak sejak pembunuhan lima tentera negara itu oleh tentera Israel berikutan serangan militan bulan lalu berhampiran sempadan kedua-dua negara yang meragut nyawa lapan penduduk Israel. 

Beribu-ribu penduduk menyerbu Kedutaan Israel di Kaherah, dan rejim Zionis itu terpaksa mengeluarkan isu menyatakan kekesalan mereka di atas kejadian berkenaan dengan harapan ia dapat membendung kebencian rakyat Mesir. 

Israel bimbang dengan masa depan perjanjian damainya dengan Mesir, yang ditandatangani 30 tahun lalu, sejak sekutu kuatnya, bekas Presiden Hosni Mubarak, ditumbangkan dalam kebangkitan rakyat awal tahun ini. 

Kerajaan Yahudi itu juga risau dengan ketegangan hubungannya dengan Turki, terutama dengan lawatan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan, ke Kaherah di tengah kebimbangan dia akan membentuk pakatan anti-Israel dengan kerajaan baru Mesir. Agensi 

Dunia peringati tragedi 9/11





2011/09/12

PRESIDEN Amerika, Barack Obama menyampaikan ucapan pada majlis  memperingati ulang tahun serangan 11 September, di New York, semalam.
PRESIDEN Amerika, Barack Obama menyampaikan ucapan pada majlis memperingati ulang tahun serangan 11 September, di New York, semalam.
Keluarga mangsa ratapi pemergian

WELLINGTON: Satu dekad selepas tragedi 11 September 2001 mengubah banyak perkara kepada ramai orang, pemimpin dunia dan berjuta-juta penduduk yang masih lagi mengingati tragedi serangan ke atas Amerika Syarikat itu. 

Dari Sydney ke Atlanta, upacara rasmi diadakan untuk mengingati hampir 3,000 orang daripada lebih 90 negara yang maut dalam serangan itu. Sementara itu, pihak berkuasa di Washington dan New York mengetatkan kawalan keselamatan sebagai reaksi kepada perisikan mengenai kemungkinan berlakunya serangan bom kereta.
Bagi sebahagian orang, kesakitan itu tidak akan berhenti.
Di KUALA LUMPUR, Pathmawathy Navaratnam, bangun setiap pagi Ahad di kediamannya di Kuala Lumpur dan melakukan perkara sama setiap hari sejak 10 tahun lalu, iaitu mengucapkan selamat pagi kepada anaknya, seorang penganalisis kewangan, Vijayashanker Paramsothy, 23, yang terbunuh dalam serangan di New York. 

Dia sinar hidup saya. Dia menikmati kehidupannya, tetapi saya tidak dapat menerima dia sudah tiada. Saya masih hidup, tetapi hakikatnya hati saya sudah mati, katanya. 

Di MANILA, berpuluh-puluh bekas penghuni rumah setinggan membawakan bunga mawar, belon dan berdoa untuk seorang lagi mangsa, Marie Rose Abad, warga Amerika. Kawasan kejiranan itu adalah kawasan setinggan yang dipenuhi sampah, tetapi pada 2004, suami Abad membina 50 rumah sebagai memenuhi permintaan terakhir isterinya yang mahu membantu golongan miskin negara itu. 

Di NEW PLYMOUTH, pemain pasukan ragbi American Eagles adalah antara yang pernah mengingati ulang tahun itu. Pemain yang mengambil bahagian dalam kejohanan Ragbi Piala Dunia mendengar ucapan Duta Amerika, David Huebner, yang saudara lelakinya, Rick, selamat dalam serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC). 
Di SYDNEY, penduduk, Rae Tompsett, dia tidak pernah berasa marah berhubung pembunuhan anak lelakinya, Stephen Tompsett, 39, seorang jurutera komputer yang berada di tingkat 106 menara utara WTC ketika ia dirempuh pesawat yang dirampas. 

Tidak, bukan marah tetapi sedih. Sedih kerana orang melakukan perkara itu percaya mereka membuat perkara baik, katanya. 

Pesara guru dan suaminya, Jack, 92, bercadang menghadiri perhimpunan semalam seperti biasa di gereja sebelum menghadiri majlis peringatan pada tengah harinya. 

Menakjubkan kerana ia sudah 10 tahun, rasa seperti baru kelmarin, kata Tompsett. 

Di SEOUL, Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak, menghantar surat kepada Presiden Barack Obama, menyatakan takziah kepada mangsa serangan itu dan keluarga serta penduduk Amerika. 

Lee, menyifatkan serangan itu tidak boleh dimaafkan dan memuji usaha berterusan Amerika untuk memerangi keganasan. 

Sementara pemimpin di Pakistan, yang menjadi mangsa keganasan al-Qaeda, tetapi turut dituduh tidak berusaha bersungguh-sungguh memerangi militan, berkata, mereka menyertai rakyat Amerika menghormati mangsa yang maut 10 tahun lalu. 

Sebagai negara yang terjejas teruk akibat keganasan, kami menegaskan kesediaan mengukuhkan kerjasama untuk membasmi keganasan, kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan. AP 

Pembesar Waris Naning pertikai penerima anugerah




OMAR menunjukkan nama-nama penerima anugerah dan pingat kebesaran Lembaga Adat Naning di Melaka semalam.


MELAKA – “Jika anggap itu anugerah anak adat, kenapa ada penerima bukan daripada anak adat?”
Demikian persoalan yang ditimbulkan oleh Datuk Syahbandar Pembesar Waris Lembaga Adat Naning, Omar Ali mengenai pengurniaan darjah kebesaran oleh Datuk Undang Wilayah Naning ke-19, Abdul Latif Hashim, yang diadakan pada Mei lalu.
Menurutnya, sebelum ini, hanya ada anugerah jawatan adat antaranya Datuk Setia Bakti, Datuk Paduka Tuan, Datuk Pawang Diraja dan Datuk Maulana Hakim.
“Pada penganugerahan Mei lalu, diwujudkan anugerah baharu seperti Datuk Paduka Setia, Datuk Seri dan Datuk Kehormat yang tiada dalam adat Naning, malah penerimanya juga terdiri daripada pihak luar termasuk kaum lain seperti India dan Cina yang jelas menunjukkan mereka bukan anak adat Naning yang mengamalkan adat Pepatih.
“Saya tak tuduh Datuk Naning jual anugerah, namun saya bimbang jika anugerah baharu yang bukan anugerah anak adat ini dijual pihak-pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan peribadi,” katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo! di sini semalam.
Omar berkata, kewujudan anugerah baharu termasuk yang membawa gelaran Datuk Seri boleh mengelirukan orang ramai sehingga mempercayai ia adalah sah dan sanggup membayar untuk menerima anugerah tersebut seperti yang dilaporkan Kosmo! Selasa lalu.
“Saya nasihatkan orang ramai jangan percaya jika didatangi individu menjual anugerah Datuk Undang Naning kerana anugerah ini asalnya hanya jawatan adat dan diberikan kepada anak adat iaitu suku-suku di Naning saja,” katanya.

Demi Moore siar gambar separuh bogelnya



GAMBAR yang dirakamkan Demi Moore yang disiarkannya di laman Twitter.


LOS ANGELES - Pelakon terkenal, Demi Moore, 48, bertindak berani dengan menayangkan gambar separuh bogelnya di dalam akaun laman sosial Twitter, lapor sebuah akhbar semalam.
Foto yang dirakamkan itu menampakkan bahagian belakang badannya bermula dari paras pinggang.
Dia menyiarkan gambar itu di laman tersebut pada malam Khamis lalu di dalam bilik mandi dengan memakai kaca mata berbingkai hitam.
Ia bukannya pertama kali Demi memasukkan gambarnya yang pelik di Twitter.
Sebelum ini, dia pernah merakamkan gambarnya sendiri dengan hanya memakai bikini.
Demi kini hidup bersama dengan suaminya, Ashton Kutcher selepas dia bercerai dengan Bruce Willis. - Agensi

Penduduk tanpa negara tuntut kewarganegaraan Bangladesh



DHAKA - Sejumlah penduduk India tidak memasang lampu pada waktu malam dalam bantahan untuk menuntut kewarganegaraan Bangladesh.
Bantahan itu dibuat selepas satu perjanjian ditandatangani di antara India dan Bangladesh pada Selasa lalu.
Dalam perjanjian itu, kewarganegaraan diberikan kepada ratusan ribu penduduk India yang tinggal di enklaf Bangladesh.
Bagaimanapun, perjanjian tersebut tidak menyatakan tempoh masa kewarganegaraan itu akan dilakukan.
Penganjur protes, Mofizar Rahman berkata, ribuan penduduk berarak melalui beberapa batang jalan raya di bandar Panchagarh malam kelmarin untuk menuntut tarikh tepat proses kewarganegaraan itu akan dilakukan.
Ribuan penduduk itu terperangkap untuk menjadi rakyat India atau Bangladesh selepas satu peta yang kabur dihasilkan semasa tahun 1947. - AP

PM Turki tak akan lawat Gaza



ANKARA - Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu menyatakan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan tidak akan melawat Genting Gaza.
Menurutnya, lawatan itu tidak akan dilakukan Erdogan semasa beliau melawat Mesir.
Beliau berkata, Erdogan yang melawat Mesir hari ini juga akan berkunjung ke Tunisia dan Libya.
Israel sebelum ini mempunyai hubungan yang tegang dengan Turki dan Mesir.
Satu lawatan Erdogan ke Gaza mungkin akan mencetuskan lagi ketegangan selepas Israel enggan meminta maaf ekoran serbuan sekumpulan komando Yahudi di atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza milik Turki pada tahun lalu.
Dalam serbuan itu, seramai sembilan penduduk pro-Palestin maut. - AP