Saturday, March 27, 2010

BN mampu rampas Hulu Selangor





Najib Tun Razak membaca akhbar Jawi sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Mac - Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor kerana senario politik sekarang yang telah berubah dan tidak seperti tahun 2008 yang menyaksikan rakyat beralih menyokong pembangkang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun wujud perubahan suasana, BN mesti memberi tumpuan dan menunjukkan kesungguhan serta bekerja keras untuk mencapai kemenangan.
''Kita telah membuat keputusan supaya jentera buat persiapan dan bergerak sepenuhnya kerana kawasan ini ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah diwakili oleh BN kecuali Parlimen sahaja yang diwakili pembangkang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini malam ini.
Semalam, Ahli Parlimen Hulu Selangor daripada PKR, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, 71, meninggal dunia akibat barah otak.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 198 undi. Zainal Abidin mendapat 23,177 undi manakala Datuk G. Palanivel dari BN mendapat 22,979 undi dan undi rosak adalah sebanyak 1,466.
Ditanya mengenai permintaan MIC supaya meletakkan kembali Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan pucuk pimpinan parti itu.
Mengenai desakan beberapa pihak supaya calon UMNO dipilih untuk bertanding memandangkan 53.94 peratus daripada 63,593 pengundi adalah daripada kaum Melayu, beliau berkata: ''Nanti dulu. Apalah sibuk sangat, sabar-sabarlah."
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai kempen pada pilihan raya itu.
''MT hari ini memutuskan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya manakala Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohamed Idris Bakar dilantik sebagai timbalannya," katanya.
Menurut beliau, mesyuarat hari ini turut membincangkan tentang Model Ekonomi Baru (MEB) berkaitan perlunya ia diterima rakyat dan ia juga menyaksikan majlis angkat sumpah Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman sebagai ahli MT baru mewakili pergerakan itu.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata, beliau bersedia bertemu dengan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bagi mendengar penjelasan dan permohonan maaf beliau berhubung cubaan mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.
''Saya hendak tahu kebenarannya dan seperti yang selalu saya percaya kebenaran akan mengatasi kebatilan dan saya serah kepada polis untuk melakukan siasatan," katanya.
Mengenai langkah kerajaan negeri Kelantan melantik Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perunding dalam isu royalti minyak, beliau berkata, itu merupakan hak kerajaan negeri untuk berbuat demikian.
''Apa pun kerajaan Pusat berpendapat pemberian wang ihsan selari dengan perundangan negara," katanya.
Ditanya mengenai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang dikatakan menjalani pembedahan pintasan jantung, beliau mengesahkan dan mengatakan Anifah sudah beransur pulih dan akan kembali bertugas.

No comments:

Post a Comment