Saturday, March 27, 2010

Mat Taib mungkin dicalon



SHAH ALAM 26 Mac - UMNO negeri tidak menafikan khabar angin yang Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (gambar) mungkin dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.
Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, desas-desus pencalonan bekas Menteri Besar Selangor itu memang wujud terutamanya di peringkat akar umbi yang mahukan Muhammad.
Sungguhpun begitu katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri masih belum membuat ketetapan mengenai calon yang layak bertanding bagi merebut kerusi ahli Parlimen kawasan itu.
"Memang kita ada dengar khabar angin mengenai perkara ini di peringkat akar umbi. Tetapi, setakat ini kita belum mengemukakan senarai nama calon yang akan bertanding.
"Siapa yang dipilih menjadi calon akan ditentukan dalam perbincangan di peringkat BN negeri dan ketika ini kita masih belum mengadakannya.
"Sebarang keputusan mengenai siapa calon yang layak pula akan diputuskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas khabar angin yang mengaitkan Muhammad sebagai calon pilihan UMNO Selangor untuk bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.
Kerusi Ahli Parlimen Hulu Selangor kini kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akibat barah otak di kediamannya di Kajang, malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengumumkan tarikh pilihan raya kecil itu pada 2 April ini.
Dalam pada itu, Abdul Shukor berkata, kerusi Parlimen Hulu Selangor sebelum ini diperuntukkan kepada calon daripada MIC.

No comments:

Post a Comment