Friday, April 30, 2010

Bukan sesuatu yang mengejutkan





Abdullah Ahmad Badawi membaca akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan berita mengenai penulis blog Syed Azidi pada sidang akhbar di Institut Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 29 April - Perbuatan mewujudkan persepsi sebagai perang saraf demi menunjukkan keburukan dan kelemahan kerajaan bukanlah suatu tindakan yang mengejutkan.
Malah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, ia merupakan antara strategi dan permainan politik yang diguna pakai oleh pihak pembangkang untuk dilemparkan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN).
"Kalaulah betul, saya tidak terkejut dan saya tidak hairan kalau perkara ini berlaku. Itulah permainan politik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan muzakarah 'Pendekatan Islam Hadhari: Satu Tinjauan anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.
Semalam, seorang penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz mendakwa diarah oleh pemimpin Pas untuk mewujudkan persepsi buruk bagi memburukkan pentadbiran Abdullah dan memastikan Pas terus kekal memerintah di Kelantan.
Beliau yang juga dikenali sebagai Kickdefella mengakui menerima peruntukan sejumlah RM4 juta dalam tempoh tiga tahun untuk membiayai pelbagai aktiviti termasuk pembelian aset, peralatan, pembayaran upah operatif, percetakan dan lain-lain bertujuan menggerakkan satu operasi Gerak Saraf.
Abdullah berkata, sebagai orang politik, beliau sentiasa berhadapan dengan kemungkinan dilemparkan dengan pelbagai tohmahan bagi menghentam dan memburukkan dirinya.
"Persepsi orang terhadap saya macam-macam. Tetapi dalam politik memang begitu. Ahli politik hidup dengan persepsi. Tetapi akhirnya rakyat juga yang menentukan," ujar beliau.
Tidak berminat untuk membuat penyiasatan terperinci mengenai dakwaan tersebut, Abdullah juga menegaskan, tidak mahu mengambil sebarang tindakan biarpun beliau boleh berbuat demikian.
Bagaimanapun beliau berkata, bersedia menerima penjelasan Syed Azidi jika penulis blog itu mahu menemuinya untuk menerangkan mengenai dakwaan tersebut.
Dalam pada itu, Abdullah mengharapkan agar Islam Hadhari terus diterima oleh segenap lapisan rakyat supaya dapat menjadi panduan demi kemajuan serta kemakmuran dan keharmonian negara.
Menurutnya, gabungan konsep Islam Hadhari dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu mewujudkan satu gandingan yang mantap kerana prinsip amalannya adalah untuk kebaikan dan kemajuan bersama.
Pada muzakarah tersebut, sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan masing-masing oleh Timbalan Ketua Eksekutif Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS), Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; Profesor, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Tan Sri. Dr. Mohd. Kamal Hassan dan Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.
Ia bertujuan untuk meninjau pendekatan Islam Hadhari di negara ini serta mengemukakan kaedah terbaik dalam penambahbaikan pelaksanaan pendekatannya.

No comments:

Post a Comment