Thursday, April 8, 2010

Mahfuz dirujuk ke Jawatankuasa Hak



KUALA LUMPUR 7 April - Dewan Rakyat hari ini membuat keputusan merujuk Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berikutan perbuatannya mengejek UMNO dengan menyebut perkataan 'UMNO-Apco' berulang-kali ketika sesi sidang.
Apco Worldwide (Apco) yang dilantik sebagai perunding komunikasi kepada kerajaan Malaysia sebelum ini didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kaitan dengan Israel dan terlibat memberikan idea pembentukan gagasan 1Malaysia.
Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, setelah undian secara suara terbanyak mendapati lebih ramai menyokong Mahfuz dirujuk ke jawatankuasa berkenaan.
Usul untuk merujuk Mahfuz ke jawatankuasa itu pada asalnya dibawa oleh Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang tidak berpuas hati dengan perlakuan Ahli Parlimen Pokok Sena berkenaan.
Mahfuz membuat ejekan berkenaan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 menerusi undi belah bahagian.
Keputusan itu bagaimanapun menerima bantahan keras daripada wakil rakyat pembangkang, termasuk Mahfuz sendiri yang meminta penjelasan daripada Wan Junaidi.
Kekecohan pada sesi petang yang berlarutan hampir dua jam menyebabkan Wan Junaidi memutuskan sidang Dewan ditangguhkan selama 15 minit bagi meredakan keadaan.
Setelah Dewan bersidang semula, kekecohan kembali berulang sehingga menyebabkan Timbalan Yang Dipertua itu memutuskan sidang hari ini ditangguhkan sehingga 10 pagi esok.
Penangguhan itu dibuat kira-kira pukul 6.15 petang, sedangkan sesi hari ini sepatutnya berakhir pada 7.30 malam.

No comments:

Post a Comment