Thursday, April 8, 2010

Nazri pertahan Zul, Zahrain ikuti PM ke AS

Posted by RAKYAT MARHAEN




Datuk Seri Nazri Aziz.
KUALA LUMPUR, 8 April — Tindakan kerajaan menghantar dua Ahli Parlimen Bebas mengikuti rombongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat adalah bagi memastikan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang mempunyai wakil yang mencukupi pada sidang Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang bertanggungjawab menjaga Parlimen berkata, hal ini penting memandangkan sekarang telah menjadi kebiasaan pembangkang untuk mengadakan undian belah bagi dalam persidangan.
“Sebab itu saya mengambil keputusan untuk tidak menghantar Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk turut serta dalam rombongan tersebut.
“Kita kena tentukan bahawa jumlah anggota Parlimen BN mesti lebih pada setiap masa.
“Dalam masa yang sama tak hantar dari pembangkang yang bukan Bebas kerana tak mahu dituduh nanti, kita hantar mereka dengan tujuan memastikan jumlah mereka kurang,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Laporan The Malaysian Insider hari ini menyebut Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru) dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) yang kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas, akan menyertai pelancaran Kokus (Kongres) Malaysia-Amerika Syarikat di Washington, Rabu depan.
Zulkifli dan Zahrain merupakan antara tiga anggota Dewan Rakyat akan berada di Washington, sekali gus dilihat mencipta sejarah berbuat demikian.
Pemergian mereka menjadi tumpuan selepas tidak lagi mewakili PKR.
Turut menyertai kedua-dua mereka ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi mengesahkan Rais dan dua wakil rakyat berkenaan akan menghadiri majlis berkenaan, yang dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri.
Ia akan dilancarkan oleh Najib pada 14 April.
Zulkifli, yang dipecat dari PKR bulan lalu berkata, beliau akan berada di AS untuk menghalusi beberapa kerja menjelang pelancaran kokus berkenan.
Zahrain pula meninggalkan PKR pertengahan Februari lalu.
Sehubungan itu, Nazri menolak dakwaan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) bahawa kerajaan mengetepikan Ahli Parlimen BN dan menganggap mereka sebagai anggota Parlimen kelas kedua.
Terdahulu, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 peringkat jawatankuasa, Lim mempertikaikan keputusan kerajaan untuk menghantar dua Ahli Parlimen Bebas iaitu Zulkifli dan Zahrain bagi menghadiri pelancaran kokus minggu depan bersama Perdana Menteri.
Nazri berkata kerajaan telah memutuskan bahawa tiada Ahli Parlimen BN yang dibenarkan ke luar negara sewaktu persidangan Parlimen sedang berlangsung.
“Jadi sebab itu yang ikut PM cuma Rais saja. Jadi saya hantar Bebaslah. Sebab jadi amalan, setiap kali lawatan Perdana Menteri yang terdiri daripada pegawai, menteri, kita selalu hantar ahli-ahli Parlimen,” katanya.

No comments:

Post a Comment