Sunday, April 11, 2010

Parti Presiden Sri Lanka menang besar



COLOMBO 10 April - Parti pemerintah Sri Lanka, Pakatan Kebebasan Bersatu Rakyat (UPFA), pimpinan Presiden Mahinda Rajapakse (gambar) mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen negara ini, yang pertama kali diadakan sejak pemberontakan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) berjaya ditumpaskan.
UPFA memenangi 117 daripada 225 kerusi, manakala parti pembangkang utama, Parti Bersatu Kebangsaan (UNP) hanya memperolehi 47 buah kerusi.
Bagaimanapun, keputusan bagi 45 kerusi lagi masih belum diisytiharkan.
Menurut Rajapakse, orang ramai menyokong penuh UPFA berikutan polisi ekonominya, selain kejayaan parti itu menumpaskan pemberontakan Harimau Tamil dalam serangan tentera besar-besaran pada tahun lepas.
"Saya mohon anda untuk mewujudkan sebuah Parlimen yang kukuh yang mampu berhadapan dengan sebarang cabaran.
"Secara ikhlas, saya berterima kasih kepada anda kerana memberikan saya sokongan majoriti yang akan membantu menjadikan Sri Lanka sebagai satu contoh kepada dunia," katanya.
Jurucakap Rajapakse, Chandrapala Liyanage menyifatkan, kejayaan ini sebagai sumbangan besar tugas seorang Presiden.
"Parti itu telah memenangi Parlimen dengan mudah," katanya.
Liyanage menjangkakan UPFA akan memenangi sekurang-kurangnya 24 kerusi yang masih belum diisytiharkan, kurang sembilan kerusi untuk memenangi dua pertiga majoriti undi apabila keputusan akhir pilihan raya diisytiharkan pada 19 April ini. - AFP

No comments:

Post a Comment