Friday, May 28, 2010

PAS sokong PBT tidak benar premis judi bola



KUALA LUMPUR, 27 Mei: PAS menyokong keputusan dan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) Petaling Jaya, Selayang dan Ampang Jaya yang tidak akan membenarkan premis pengoperasian judi bola sepak Piala Dunia oleh Syarikat Ascot Sport, anak Syarikat Kumpulan Berjaya Corp.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan dan tindakan tersebut menunjukkan satu keberanian dan ketegasan PBT yang memahami kesan yang bakal dihadapi negara dari amalan perjudian.
Katanya, apa yang boleh dilakukan oleh PBT ialah tidak mengeluarkan lesen premis judi bola sepak kepada Syarikat Kumpulan Berjaya Corp yang mendapat lesen untuk mengendalikan perjudian itu.
Keduanya, kata beliau ialah seperti mana kenyataan yang dibuat oleh Berjaya bahawa mereka akan menggunakan premis dan kemudahan Sport Toto yang sedang beroprasi secara sah untuk dijadikan pusat pengoperasian kegiatan judi bola sepak, maka pihak PBT boleh menarik balik lesen premis yang telah dikeluarkan sebelum ini kepada Sport Toto kerana menjalankan penambahan aktiviti judi tanpa kebenaran PBT.
PBT juga, katanya hendaklah menolak sebarang permohonan penambahan aktiviti judi yang dikendalikan di premis Sport Toto.
“Dengan ini kita dapat menghalang kegiatan judi yang sangat besar tranksaksinya yang dijangka RM2 bilion sehari.
“Dengan ini dapat mengelak dari berlakunya peningkatan gejala jenayah seperti curi, rompak, ragut dan kegiatan pinjaman along untuk berjudi yang akan menyebabkan berlakunya keberentakkan rumahtangga dan mewujudkan masalah sosial pada negara,” ujarnya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengucapkan tahniah kepada Ahli Majlis PBT Selangor yang menggunakan kuasa yang ada pada mereka menghalang gejala keburukan judi itu.
“Saya menyeru semua kerajaan negeri khususnya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) menjadikan ini sebagai satu permulaan yang baik ke arah menghentikan amalan buruk ini.
“Saya menyeru semua Ahli Majlis PBT di negeri PR mengambil langkah dan tindakan yang sama dalam menghalang kegiatan judi bola sepak yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib,” ujarnya.
Justeru, beliau akan menghubungi pimpinan PR untuk membolehkan satu Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan PR diadakan dalam kadar yang segera bagi mengambil ketetapan supaya semua kerajaaan negeri dan PBT di negeri PR memerintah mengambil keputusan yang sama bagi menghalang pengoperasian judi bola sepak yang dilesenkan oleh Datuk Seri Najib kepada Berjaya Corp.

No comments:

Post a Comment