Friday, May 28, 2010

Subramaniam cabar Samy Vellu letak jawatan



27/05/2010 5:22pm



KUALA LUMPUR 27 Mei - Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam bersetuju untuk meletak jawatannya sebagai Ketua Bahagian Seputih berkuat kuasa esok jika Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu turut bersedia melepaskan jawatannya.
Menurut Subramaniam, beliau telah pun berfikir panjang sebelum mengambil keputusan tersebut dan sanggup melepaskan jawatan itu kepada timbalannya.
"Saya bersedia meletak jawatan saya berkuat kuasa esok tetapi syaratnya Samy Vellu pun harus memberi surat peletakan jawatannya bersama-sama dengan saya.
"Jika beliau memerlukan masa untuk memikir mengenai hal ini, beliau boleh mengambil masa seminggu. Saya akan menunggu beliau dan kami boleh serah surat peletakan jawatan bersama-sama,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Samy Vellu ketika muncul dalam program 'Soal Jawab' dikendalikan oleh Datuk Ahmad A. Talib di stesyen televisyen TV3 berkata, Subramaniam juga patut meletak jawatan dari MIC kerana menjadi ahli MIC paling lama.
Subramaniam berkata, beliau hanya Ketua Bahagian dan tidak ada masalah untuk melepaskan jawatan itu serta mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap timbalannya.
"Kenapa Samy Vellu mengaitkan saya dalam hal ini? Saya tidak membuka mulut sejak masalah dalaman MIC meletus baru-baru ini. Beliau harus fikir dulu sebelum keluarkan apa-apa kenyataan.
"Bagaimanapun, saya tetap akan cabar beliau dan sanggup melepaskan jawatan saya jika beliau bersedia melakukan perkara yang sama,’’ katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment