Monday, May 24, 2010

Pelancong bersihkan Bangkok




PELAJAR-PELAJAR sekolah dan penduduk tempatan membersihkan sebatang jalan raya di Bangkok semalam.


BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva semalam menyatakan bahawa bandar raya Bangkok akan kembali beroperasi semula seperti biasa pada hari ini selepas kerja-kerja pembersihan besar-besaran dilakukan di lokasi bekas kem penunjuk perasaan antikerajaan.
Menurutnya, sekolah-sekolah, bangunan kerajaan dan jalan-jalan akan dibuka selepas ditutup bagi memastikan orang awam menjauhi tengah bandar raya ini semasa berlakunya pertempuran antara pasukan keselamatan dengan penunjuk perasaan antikerajaan pada Rabu lalu.
"Semuanya tenang dan kembali normal," katanya menerusi ucapan di televisyen.
Perdana Menteri itu kelihatan penuh keyakinan semasa berucap selepas krisis politik berlaku selama dua bulan di Bangkok sehingga mengakibatkan 86 orang terbunuh dan 1,900 lagi cedera.
Namun, pihak berkuasa melanjutkan tempoh perintah berkurung selama empat malam di sini dan di 23 buah wilayah lain sehingga esok.
Di Bangkok, sejumlah pekerja sukarelawan termasuk warga asing membersihkan contengan dan poster selain membersihkan jalan-jalan daripada timbunan sampah.
Abhisit berkata, beliau akan meneruskan pelan damai yang bertujuan untuk memulihkan perpaduan penduduk Thai yang berpecah tetapi tidak memberikan pengesahan mengenai tarikh pilihan raya yang dituntut oleh penunjuk perasaan antikerajaan.
"Saya telah pun menyatakan bahawa pilihan raya baru akan diadakan selepas perhimpunan (antikerajaan) berakhir dengan syarat bahawa keamanan diwujudkan," katanya.
Pada Rabu lalu, penunjuk perasaan antikerajaan yang terkenal dengan panggilan Baju Merah bertempur dengan tentera Thai dalam operasi untuk menamatkan perhimpunan haram di Bangkok.
Penunjuk perasaan antikerajaan itu membuat tuntutan supaya Abhi- sit meletakkan jawatan, Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan dengan segera. - Agensi

No comments:

Post a Comment