Saturday, May 29, 2010

Perhimpunan GAS berpindah ke The Mines



PETALING JAYA 28 Mei - Perhimpunan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) yang akan diadakan Ahad ini, dipindahkan ke Pusat Konvensyen dan Pameran Mines di Sungei Besi, selepas pihak pengurusan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dikatakan menghadapi tekanan dan masalah daripada pihak tertentu.
Sehubungan itu, bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan yang memaklumkan perkara tersebut mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu memecat beribu-ribu ahli MIC yang bakal menghadirinya.
"Samy Vellu telah menggunakan pengalaman beliau sebagai seorang menteri untuk mendesak beberapa pihak dalam PWTC membatalkan penganjuran GAS di sana.
"Sehubungan itu, kami membuat keputusan untuk tidak menyusahkan mereka dan memindahkan GAS ke lokasi baru di Sungai Besi yang akan diteruskan pada pukul 2 petang, Ahad ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir ialah dua bekas anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, G. Kumar Aamaan dan K. P. Samy.
Tindakan Mugilan menempah dewan di PWTC untuk perhimpunan GAS menjadi antara asas anak Samy Vellu, S. Vell Paari menuduh UMNO mempunyai kaitan dalam usaha membunuh kerjaya politik bapanya.
Ekoran itu, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan mahu menilai semula kedudukan parti tersebut dalam Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Mugilan mendakwa, tindakan 'mendesak' pembatalan perhimpunan GAS di PWTC telah membawa kebaikan kepada gerakan tersebut kerana lokasi baru adalah lebih besar dan dijangka disertai lebih 15,000 ahli MIC dan masyarakat India dari seluruh negara.
"Lebih 80 peratus yang akan turut serta ini ialah ahli MIC dan ramai daripadanya merupakan ahli Pemuda MIC sendiri.
"Kami berterima kasih kepada pihak yang memberi tekanan kepada pengurusan PWTC kerana perubahan lokasi telah meningkatkan jumlah peserta daripada 10,000 kepada 15,000 orang yang jumlahnya dijangka terus meningkat.
"Saya cabar Samy Vellu pecat semua yang menyertai GAS. Biar Presiden MIC itu bawa satu meja untuk pekerja dari ibu pejabat MIC memeriksa maklumat setiap peserta seterusnya memecat beribu-ribu ahli MIC yang hadir," katanya.
Beliau memberitahu, pihak penganjur telah mendapatkan segala dokumen untuk meneruskan perhimpunan GAS termasuk permit polis untuk tapak baru tersebut.
Dalam pada itu, Mugilan turut menempelak pihak yang meniru ideanya dalam menganjurkan Gerakan Anti-Mugilan (GAM) di Hulu Selangor hari ini.
"Mereka ini memang tiada otak. Kenapa tiru idea saya?
"Saya tidak takut kena 'GAM' kerana mereka menggunakan dua orang 'rakan' saya sedangkan saya ada lebih 2,000 rakan rapat yang boleh melawan tohmahan mereka," tegasnya.

No comments:

Post a Comment