Saturday, May 29, 2010

Samy diberi seminggu letak jawatan



KUALA LUMPUR 28 Mei - Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam memberi tempoh selama seminggu mulai hari ini kepada Datuk Seri S. Samy Vellu untuk melepaskan jawatan tertinggi yang disandangnya dalam parti itu sejak 1979.
Bagaimanapun, katanya, pada masa ini, beliau akan mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' sehingga Presiden MIC itu tampil membuat kenyataan balas.
"Beliau meminta saya meletak jawatan dalam MIC dan saya sedia berbuat demikian sekiranya beliau juga sanggup untuk berbuat demikian.
"Apa pun, saya akan tunggu perkembangan terkini dalam tempoh seminggu ini sebelum membuat apa-apa keputusan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Subramaniam menyahut cabaran Samy Vellu untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua MIC Bahagian Seputeh jika Presiden MIC itu turut melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 31 tahun lalu.
Malah, katanya, beliau bersedia melepaskan jawatan itu esok (hari ini) sekiranya Samy Vellu juga mengambil langkah yang sama.
Menurutnya, beliau telah pun berfikir panjang sebelum mengambil keputusan tersebut dan sanggup melepaskan jawatan itu kepada timbalannya.

No comments:

Post a Comment