Friday, June 11, 2010

30 tahun minum air sungai

RAHMAN menunjukkan pam yang digunakan untuk menyedut air sungai yang keruh untuk kegunaan harian kerana tiada bekalan air bersih.
RAHMAN menunjukkan pam yang digunakan untuk menyedut air sungai yang keruh untuk kegunaan harian kerana tiada bekalan air bersih.


Lapan keluarga di Kampung Machang Panching tidak dapat kemudahan asas

KUANTAN: Lapan keluarga di Kampung Machang Panching dekat sini, terpaksa mengambil risiko meminum air sungai yang keruh dan berlumpur kerana bekalan air bersih yang dijanjikan untuk mereka sejak hampir 30 tahun lalu, belum tertunai.
Walaupun kemudahan paling asas itu sudah lama dinikmati penduduk di kawasan berkenaan, namun bagi lapan keluarga itu, mereka terus menanti janji yang tidak pasti bila akan dikotakan.
Agak menghairankan, apabila tiga rumah yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari rumah mereka, mendapat kemudahan bekalan air bersih daripada Jabatan Bekalan Air (JBA) sejak lebih 20 tahun lalu.

Seorang penduduk, Rahman Musa, 64, berkata sudah empat kali pihak JBA datang membuat tinjauan dan mengukur jarak paip ke setiap rumah di kawasan berkenaan, namun sehingga kini projek pemasangan paip masih belum bermula.

“Kali terakhir mereka datang mengukur pada November lalu, saya pernah mengemukakan isu ini kepada pihak JBA, namun mereka sendiri tidak pasti bila sambungan itu akan dilaksanakan kerana kosnya dianggarkan RM95,000.

“JBA memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai peruntukan kewangan walaupun jarak sambungan itu hanya 500 meter sedangkan sambungan kepada tiga rumah berhampiran jalan utama, membabitkan jarak empat kilometer, mampu pula dilaksanakan JBA,” katanya.
Akibatnya, penduduk terbabit terpaksa bergantung kepada air Sungai Kenau sebagai sumber bekalan air untuk minum dan keperluan harian walaupun kualiti air sungai berkenaan diragui kebersihannya kerana pencemaran.

Bagaimanapun, mereka tiada pilihan lain, malah terpaksa mengeluarkan kos tambahan membina saluran paip dari sungai ke rumah dan membiayai kos bahan api jentera pengepam air itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Pesar, Datuk Abdul Manan Ismail ketika diminta mengulas isu itu berkata pihaknya akan merujuk masalah itu kepada JBA Pahang sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Status kerja mengorek pasir di tebing Sungai Kenau itu juga akan disiasat bagi memastikan kontraktor terbabit menjalankan kerja berkenaan dengan mematuhi syarat alam sekitar yang ditetapkan Pejabat Tanah Dan Daerah Kuantan.

“Diharap penduduk dapat bersabar sementara saya mendapatkan maklum balas dari semua pihak terbabit kerana isu air paip ini dianggap serius memandangkan bekalan air bersih adalah infrastruktur paling asas bagi setiap penduduk,” katanya.

No comments:

Post a Comment