Wednesday, June 9, 2010

Isu lesen judi mengelirukan



SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) menyelar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terlalu lewat memberikan maklum balas berhubung kelulusan lesen judi sukan bola sepak kepada syarikat Ascot Sport Sdn Berhad yang mengendalikan pertaruhan piala dunia. 

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya menggambarkan terdapat sesuatu yang tidak kena berhubung perkara ini termasuk menimbulkan percanggahan kenyataan melibatkan menteri dan pemilik Berjaya Corporation Bhd (BJ Corp). 

"Jika kerajaan benar-benar serius dan mahu mendengar suara rakyat sebelum mengambil keputusan mengenainya, kini sudah jelas rakyat menolak perkara itu, namun kerajaan masih belum mengambil sebarang tindakan mengenainya. 

:"Kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil masa yang begitu panjang untuk membuat kenyataan yang kerajaan masih belum memberikan kelulusan kepada syarikat itu semalam (kelmarin)," katanya ketika dihubungi :Sinar Harian, semalam. 

Nurul Izzah berkata, negeri PR dan rakyat telah melakukan beberapa demonstrasi bagi menolak cadangan berkenaan kerana tahu sumber yang digunakan akan memberikan kesan kepada kehidupan. 

"Ini juga dianggap satu taktik kerajaan yang sengaja melambatkan pembatalannya," katanya. 

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, satu siasatan rasmi perlu dilakukan kerana pemilik BJ Corp, Tan Sri Vincent Tan telah mengeluarkan kenyataan seolah-olah syarikatnya akan mendapatkan semula lesen berkenaan. 

"Saya percaya kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini hanyalah bersifat menarik pelabur kepada syarikatnya. 

"Beliau seolah-olah menggunakan perkara itu bagi menarik pelabur di Bursa Malaysia. Sekiranya ia sengaja digunakan, saya menyeru pihak berkuasa menyiasat penyalahgunaan ini," katanya. 

Kelmarin, Najib memberitahu kerajaan masih belum lagi mengeluarkan dan meluluskan lesen pertaruhan judi kepada syarikat berkenaan.

No comments:

Post a Comment