Sunday, July 11, 2010

Kerana hepi besday, sir!

Badrul Hisham ditahan untuk ambil keterangan

TAMPIN: “Penahanan itu hanya bertujuan merekod keterangan sebelum dibebaskan antara dua hingga tiga jam kemudian,” kata Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh.
Beliau mengulas tindakan pihaknya menahan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shahrin kelmarin bagi membantu siasatan berhubung artikel dikeluarkannya bertajuk ‘Warkah terbuka kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong: ‘hepi besday, sir!’ di dalam sebuah blog, 10 Jun lalu.
Menurut Osman, kertas siasatan kes berkenaan dibuka pihaknya sebelum ini dan Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard ditahan di Pejabat PKR negeri di Seremban hanya untuk merekod keterangannya sebelum jam 9 malam kelmarin.

“Kita (polis) menerima laporan polis daripada orang awam mengenai kandungan artikel itu yang mempunyai unsur hasutan dan beliau ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan.

“Beliau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyiasat kes berkenaan secara menyeluruh dan tindakan melakukan penahanan lanjut akan bergantung kepada keadaan atau keperluan.

Berikutan penahanan itu, beberapa blog termasuk portal berita tempatan semalam melaporkan Badrul Hisham ditahan kerana menulis artikel berhubung pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Difahamkan, polis membuka kertas siasatan kes berkenaan selepas Pemuda UMNO Bahagian Rembau membuat laporan polis berhubung kenyataan Badrul Hisham pada 10 Jun lalu yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Johor melalui artikel terbabit.

No comments:

Post a Comment