Monday, July 26, 2010

Khalid kena hormat peraturan parti




SHAH ALAM - Individu dalam parti tidak boleh menentukan hala tuju dan nasib parti kerana setiap keputusan perlu dibawa serta diputuskan dalam mesyuarat, kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad. 

Menurutnya, setiap parti mempunyai peraturan dan jawatankuasa disiplin tersendiri untuk menyiasat terlebih dulu sebarang permasalahan sebelum bertindak. 

“Kita ada peraturan, jadi kena ikut peraturan dan prosedur, ada cara-cara tersendiri dan bukan parti ‘caca marba’ yang mana sebarang tindakan boleh diputuskan sesuka hati. 

“Pas tidak akan menjatuhkan hukuman sesuka hati, termasuk kes pertemuan pemimpin Pas dengan: Mufti: Perak, Tan Sri Harussani Zakaria itu,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tidak akan menghukum individu terbabit kerana pertemuan tidak menjadi satu kesalahan. 

“Semua orang ada mengadakan pertemuan dengan mufti, kita tidak tahu atas urusan apa mereka bertemu. Jika akan merugikan parti, kita akan bertindak. Sebab itulah kita akan siasat dulu. Selepas keputusan dibuat dalam muktamar barulah tindakan diputuskan,” katanya. 

Menurutnya, tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mengeluarkan kenyataan supaya hukuman dijatuhkan kepada individu yang didapati bertemu Harussani adalah pandangan peribadi pemimpin itu sendiri. 

“Semua orang boleh beri pandangan, tetapi pihak parti pula perlu merujuk pada jawatankuasa. Saya secara peribadi tidak menggalakkan perkara cabar mencabar seperti ini,” katanya:.

No comments:

Post a Comment