Monday, July 12, 2010

Henti beri biasiswa lepasan SPM ke luar negara





PRESIDEN Perkasa, Datuk Ibrahim Ali (kanan) dan Ibrahim Abu Shah pada sidang akhbar berkenaan isu biasiswa JPA di Kuala Lumpur, semalam.




KUALA LUMPUR 11 Julai - Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan pemberian biasiswa kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di luar negara.
Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM,Profesor Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, langkah itu tidak perlu dilakukan kerana institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini berupaya mendidik pelajar dalam semua bidang bagi peringkat ijazah pertama termasuk kursus kritikal.
"Jika kita hendak menghantar seorang pelajar untuk menuntut dalam kursus kritikal seperti perubatan di luar negara misalnya di United Kingdom, perbelanjaan keseluruhannya sebanyak RM1.2 juta.
"Jika pengajian ini dibuat dalam negara, kosnya hanya RM400,000 dan wang selebihnya boleh digunakan untuk pembangunan lain," katanya pada sidang akhbar di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa semua pelajar cemerlang yang memperolehi 9A+ dalam peperiksaan SPM layak menerima biasiswa JPA.
Perdana Menteri berkata, pemberian biasiswa untuk pengajian ke luar negara atau dalam negara itu merangkumi semua pelajar tidak mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang.
Najib berkata, keputusan itu jelas membuktikan 1Malaysia bukan setakat slogan tetapi telah dilaksanakan oleh kerajaan di bawah kepimpinannya.
Mengenai pemberian biasiswa JPA untuk menuntut dalam negara, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Suluh Cendekiawan Malaysia berkata, beliau bersetuju konsep meritokrasi diperkenalkan tetapi dengan syarat latar belakang sosioekonomi ibu bapa pelajar turut dijadikan asas penilaian.
"Kita akan bertindak tidak adil jika memberi biasiswa kepada pelajar yang memperolehi 9A+ sedangkan bapanya adalah orang kaya atau jutawan.
"Ini kerana ramai lagi anak-anak kita daripada keluarga miskin, tidak kira apa kaum yang tidak mendapatnya terutama di kalangan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak," katanya.
Seorang lagi ahli jawatankuasa MPM, Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, cadangan melaksanakan kaedah meritokrasi dalam pemberian biasiswa JPA harus dipastikan tidak bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak keistimewaan orang Melayu.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) berkata, peruntukan berkenaan menyatakan pemberian biasiswa harus diberikan tanpa mengira sama ada pelajar Melayu berkenaan mendapat 9A+ atau tidak.
"Selain itu, bumiputera kini merangkumi 67 peratus penduduk negara ini, saya mahu pemberian biasiswa dibuat mengikut peratusan yang sama dan jumlah selebihnya diberikan kepada kaum lain," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS),Jais Abdul Karim yang juga ahli jawatankuasa MPM mencadangkan pemberian biasiswa JPA diperluaskan dan tidak hanya membabitkan kecemerlangan dalam bidang akademik semata-mata.
Katanya, pemberian biasiswa berkenaan harus juga diberikan kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang sukan dan kepimpinan.
"Saya cadangkan satu jawatankuasa khas diwujudkan JPA untuk mengkaji permohonan pelajar ini mengikut kecemerlangan dalam bidang sukan dan kepimpinan dan bukan semata-mata kerana mendapat 9A+," katanya.
sumber

No comments:

Post a Comment