Monday, July 12, 2010

WASIAT PEJUANG: KAMPUNG BELUM MANGSA KEJAHATAN UMNO BRITISH



Di ulu Sungai Perak pernah wujud sebuah perkampungan yang didirikan di atas titik peluh dan keringat penghuninya yang dikenali sebagai Kampung Belum. Hari ini kampung ini sudah tidak wujud lagi dan kawasan perkampungan ini sudah menjadi hutan belantara. Ini adalah salah satu kekejaman penjajah Inggeris ke atas rakyat negara kita.

Selain Kampung Belum, terdapat juga sebuah kampung yang terletak di kawasan sempadan sebelah Thailand yang dikenali sebagai Kampung Hala. Kampung ini juga mengalami nasib yang sama dengan Kampung Belum. Penduduknya dihalau keluar ke Dusun Nyor yang kini berada di daerah Chendek, Narathiwat.
Berikut adalah sedikit catatan dari Abdullah C.D. berkenaan Kampung Belum.

Kampung Belum Mangsa Kekejaman Inggeris 

Kami tiba di Kampung Belum pada 22 September 1954. Kampung Belum sudah tiada penghuni lagi, tapi kesan-kesan rumah yang dibakar dan pokok-pokok buah-buahan yang ditebang oleh askar penjajah masih kelihatan. Massa Kampung Belum dihalau secara paksa oleh penjajah ke Grik.

Kampung Belum dipercayai wujud kira-kira 100 tahun sebelum ia dimusnahkan. Dalam masa Perang Dunia Kedua, Kampung Belum pernah didatangi puak penyamun Kuomintang. Satu kompeni TAJRM dihantar dari Tapah ke Gua Musang untuk menghalau puak penyamun. Kompeni tersebut terus menghalau penyamun Kuomintang hingga ke Kampung Belum dan mendirikan basis di situ. Akibatnya, puak-puak penyamun itu terus lari ke Betong, wilayah Thailand. Sejak itu Kampung Belum menjadi basis gerakan kemerdekaan untuk kemerdekaan Malaya dari penjajah British. Ketua Kompeni TAJRM yang memimpin di Kampung Belum bernama Lao Ma. Kerana sumbangan besar kompeni tersebut menghapuskan puak-puak penyamun Kuomintang, penjajah British pernah menjemput Ketua Kompeni Lao Ma menyertai perarakan menyambut kemenangan perang di London pada tahun 1945. Lao Ma bukan sahaja pandai bahasa Tionghua, tetapi juga boleh bercakap dalam bahasa Inggeris, Melayu dan bahasa Orang Asli.

Seperti kampung-kampung lain, Kampung Belum juga dilanda semangat kebangsaan untukkemerdekaan yang dibangkitkan PKMM, PKM dan lain-lain selepas Perang Dunia Kedua. Apabila penjajah British mengisytiharkan Darurat, Kampung Belum sekali lagi menjadi basis Perang Anti-British. Lao Ma sekali lagi memimpin kompeninya bergerak menyusun massa di Kampung Belum. Pak Long, seorang perajurit dari Kelantan ditugaskan dalam kompeni tersebut untuk menyusun orang Melayu di situ. Mereka sebenarnya telah mendirikan Republik Belum.

Untuk menindas perjuangan massa dan membasmi pasukan TPNM, penjajah British telah melaksanakan dasar kejam ke atas rakyat. Pada 7 Februari 1952, 9 buah kapal terbang penjajah melakukan pengeboman di kawasan Kampung Belum. Ini disusuli dengan menggugurkan sejumlah besar askar penjajah Inggeris. Sementara itu, kira-kira 500 - 600 askar dikerahkan menyerang Kampung Belum dari berbagai penjuru. Massa rakyat Kampung Belum digiring keluar manakala seluruh Kampung Belum dibinasakan. Semua harta massa dimusnahkan termasuklah rumah, pokok buah-buahan, binatang ternakan dan lain-lain.

Untuk mengenang jasa dan sumbangan Kampung Belum kepada perjuangan kemerdekaan dan sambutan mereka kepada pasukan TPNM dan PKM, seorang kawan yang pernah bertugas di Kampung Belum telah menuliskan sebuah tulisan bertajuk KAMPUNG BELUM. Tulisan tersebut diterbitkan oleh pejabat penerbitan Rejimen Ke-10 sempadan Perak - Kelantan pada tahun 1959 dalam tulisan Jawi dan cetakan stensels.

WASIAT PEJUANG: KAMPUNG BELUM MANGSA KEJAHATAN UMNO BRITISH

No comments:

Post a Comment