Wednesday, August 4, 2010

46 kes curi air di Negeri Sembilan





SEREMBAN 3 Ogos - Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) mengesan 46 kes kecurian air di negeri ini termasuk 15 kes yang telah diambil tindakan penguatkuasaan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam tempoh enam bulan tahun ini.
Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporatnya, Azlan Abdul Aziz berkata, pihaknya turut menerima sebanyak 605 aduan kecurian air melibatkan 467 kes domestik dan 138 kes komersial dalam tempoh sama.
"Pengguna yang mendapat bekalan air terawat secara membuat penyambungan paip air tidak sah daripada sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan boleh diambil tindakan.
"Mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (AIPA) yang jika sabit kesalahan pemilik atau penghuni premis boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azlan menambah, mana-mana pemilik premis yang telah dipotong bekalan air oleh Sains dan didapati menyambung semula bekalan tanpa kebenaran boleh didakwa di bawah Seksyen 89 AIPA dan dikenakan denda RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
"Selain pendakwaan oleh SPAN, Sains akan melaksanakan tuntutan sivil untuk menuntut gantirugi penggunaan air yang tidak sah daripada pemilik premis yang didapati mencuri bekalan air. Jumlah tuntutan sehingga akhir Jun tahun ini adalah sebanyak RM422,000,'' katanya.
Sehubungan itu, katanya, Sains berharap pengguna yang mendapat bekalan air secara tidak sah dan membuat penyambungan paip agar mengambil peluang dalam tempoh pemutihan Sains untuk berbuat demikian.
Jelas beliau lagi, Sains kini mengadakan tempoh pemutihan bermula 2 hingga 31 Ogos ini bagi membolehkan pengguna bekalan air tidak sah mendaftar sebelum tindakan undang-undang diambil.
"Sains akan mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan selepas tempoh pemutihan ini di seluruh negeri dan dengan penambahan kakitangan serta peralatan bagi unit penguatkuasaan," katanya.
Tambahnya, Sains juga meningkatkan kerjasama dengan ketua-ketua masyarakat untuk mengatasi masalah berkaitan kes curi bekalan air ini.

No comments:

Post a Comment