Wednesday, August 4, 2010

Zakat fitrah di Melaka RM6.50



MOHD. Ali Rustam membelek buku mengenai masjid di Melaka yang dilancarkan pada Seminar Penghayatan Ramadan dan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah di Kompleks Masjid Al-Azim, Melaka, semalam.


MELAKA 3 Ogos - Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menetapkan kadar zakat fitrah sebanyak RM6.50 meningkat 20 sen berbanding RM6.30 tahun lalu.
Pengerusi MAIM, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, penetapan kadar itu telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri Melaka dengan mengambil kira harga semasa beras dan tanggungjawab terhadap fakir miskin di negeri ini.
Menurutnya, bagi tujuan tersebut MAIM telah melantik seramai 891 amil yang mana 711 daripada jumlah tersebut adalah daripada pegawai syarak manakala 180 lagi bukan daripada pegawai berkenaan.
''Para amil yang dilantik perlulah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah serta dedikasi.
''Amil adalah sebahagian daripada institusi agama yang diberi kepercayaan oleh masyarakat Islam dalam konteks pelunasan kewajipan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian sempena Seminar Penghayatan Ramadan, Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan pelancaran Buku Masjid Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al- Azim di sini hari ini.
Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri menambah, MAIM menyasarkan kutipan RM3.2 juta dengan jangkaan seramai 513,638 akan membayar zakat fitrah untuk tahun ini.
Menurutnya, bagi jumlah kutipan zakat fitrah tahun lalu, MAIM memperolehi sebanyak RM2.9 juta dengan 489,179 orang menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh umat Islam di negeri ini untuk menunaikan tanggungjawab kerana ia akan dapat diagih-agihkan kepada fakir miskin seperti yang ditetapkan oleh syarak.
''Melalui pembayaran zakat fitrah ia dapat membersihkan diri dan jiwa seseorang hamba yang mengabdikan diri kepada Allah semata-mata," katanya.
Mengenai pelancaran buku Masjid Negeri Melaka, Mohd. Ali berkata, buku tersebut menerangkan seni bina dan reka bentuk masjid-masjid di negeri ini.
Justeru katanya, masjid-masjid yang baru dibina kebanyakannya menggunakan kubah bagi menggantikan reka bentuk mahkota pada bahagian bumbung.
Namun begitu katanya, pembinaan itu tidak menjejaskan reka bentuk asal terutama bagi masjid lama yang masih mengekalkan identiti seni bina yang unik.
''Buku ini diharap dapat menjadi panduan dan rujukan kepada seluruh umat Islam di negeri ini khususnya ahli seni bina dan pelajar," katanya.
Buku tersebut dihasilkan oleh Pusat Sumber, Jabatan Ketua Menteri.

No comments:

Post a Comment