Monday, August 2, 2010

Anak luar nikah membimbangkan





KUALA TERENGGANU 1 Ogos - Peningkatan jumlah kelahiran anak luar nikah setiap tahun di negeri ini merupakan gejala yang amat membimbangkan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Yahya Khatib Mohamad menegaskan, ia suatu cabaran kepada semua pihak supaya berusaha menanganinya.
Beliau menarik perhatian, berdasarkan rekod yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara sejak 2005 sehingga kini sejumlah 2,314 anak tidak sah taraf dilahirkan di negeri ini.
''Ia meningkat setiap tahun, daripada 230 kes pada 2005 kepada 251 kes pada tahun berikutnya manakala 2007 mencatatkan 352 kelahiran dan 549 kes pada 2008.
"Sebanyak 611 kes dicatatkan pada 2009 dan sehingga separuh pertama tahun ini mencatatkan 321 kes dan tidak mustahil mencecah 700 hingga akhir tahun ini, " katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Jendela Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di sini petang semalam.
Projek ini dianjurkan bersama oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan kerjasama dot (.) my Domain Registry iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Beliau berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah sebelum ini termasuk melancarkan program 'Ingat Sebelum Kena' yang disasarkan kepada remaja perempuan.
''Ia melibatkan pelajar di 130 buah sekolah seluruh negeri bagi menyedarkan mereka supaya tidak mudah terjerumus ke dalam gejala yang menyimpang itu," katanya.
Di samping itu, katanya, kerajaan negeri telahmenggerakkan program 'Saya Anak Terengganu' dan 'Permata Kasih'.
"Kerajaan negeri juga akan menggembleng tenaga bersama pihak Jabatan Pelajaran negeri, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah program 'Kecemerlangan Hidup'," katanya.
Beliau berkata, ia bagi mencari jalan penyelesaian lebih berkesan bersama pihak sekolah dan ibu bapa serta masyarakat.
Beliau memberitahu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Masjid seluruh negeri akan dilibatkan dalam program 'Kempen Ke Masjid' sempena Ramadan ini sebagai salah satu usaha untuk menyedarkan masyarakat tentang gejala ini.
Yahya mengingatkan perlunya semua pihak bekerjasama dan melihat masalah ini sebagai masalah bersama dan bukannya sekadar menuding kesalahan antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment