Monday, August 30, 2010

Hidup ketakutan



Oleh Khirriah Idzihar Md Kodry
bhnews@bharian.com.my
2010/08/30

Penghuni Rumah Rakyat Kampung Panchor bimbang kain kanvas tak berupaya menahan gelongsoran tanah lereng bukit 

PAROI: Pengalaman dua kali mengalami kejadian tanah runtuh menyebabkan tiga beranak di Rumah Rakyat Kampung Panchor, di sini hidup dalam kebimbangan kerana lereng bukit yang terletak kira-kira dua meter di belakang rumah mereka hanya ditutup kanvas.
Ia menyebabkan keluarga berkenaan khuatir kanvas itu tidak mampu menahan gelongsoran lereng bukit dan mungkin menyebabkan tanah runtuh yang kali terakhir berlaku awal bulan lalu berulang, sekali gus membahayakan nyawa mereka.
Pemilik rumah, Abu Bakar Tamin, 67, bimbang kejadian lebih buruk berlaku kerana setakat ini mereka tidak pasti tahap ketahanan kanvas yang digunakan untuk menutup lereng bukit terhakis. 

Katanya, kejadian tanah runtuh pada 9 Julai lalu mendapat perhatian pegawai kanan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang hadir bersama Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lenggeng, Datuk Mustafa Salim, melawat tempat kejadian. 

"Ia diikuti dengan pemasangan kanvas lebih tebal, berbanding kanvas asal yang hanya boleh bertahan dua minggu. Bagaimanapun, saya tidak tahu berapa lama kanvas tebal itu bertahan. 

“Selain itu, apa jaminan keselamatan selepas kawasan itu ditutup kanvas kerana bagi saya, ia masih tidak berupaya menahan gelongsoran tanah di situ," katanya. 
Beliau juga tertanya-tanya tindakan yang akan diambil MPS kerana bimbang keadaan lereng bukit itu jika terus dibiarkan bukan saja mengancam keselamatan keluarganya, malah penduduk di kawasan lorong yang sama. 

Jirannya, Mohd Nor Seedi, 62, berkata kejadian tanah runtuh terakhir itu disusuli mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) beberapa hari selepas kejadian itu untuk memikirkan kaedah penyelesaian terbaik masalah berkenaan. 

"Saya wakil fasa perumahan di sini dan mesyuarat memutuskan untuk menghantar laporan kepada pihak berkaitan termasuk MPS. 

"Difahamkan, laporan itu mendapat perhatian khusus MPS yang menyatakan tindakan penyelesaian akan dilakukan tetapi setakat ini, tiada perkembangan. Kami ingin tahu tindakan yang akan diambil dan bila kerja membaiki lereng bukit dimulakan," katanya. 

Sehubungan itu, beliau berharap MPS dapat memberitahu status terkini tindakan yang bakal dilakukan kerana penduduk menyerahkan sepenuhnya penyelesaian masalah itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan berikutan tanah di bahagian atas lereng bukit adalah milik persendirian. 

Berita Harian pada 4 Mac tahun lalu melaporkan, sebahagian lereng bukit di situ runtuh selepas hujan lebat menyebabkan tanah dan air lumpur melanda mengakibatkan kerosakan beberapa rumah penduduk. 

Ini termasuk kemusnahan sebahagian rumah Abu Bakar apabila tanah yang runtuh merosakkan seluruh bahagian belakang rumahnya. 

Pada 9 Julai lalu, penduduk digemparkan lagi dengan kejadian sama apabila sebahagian tandas di luar rumah Abu Bakar ditimbus tanah runtuh beberapa jam selepas hujan lebat, dipercayai berikutan kanvas dipasang tidak mampu menahan hakisan. 

Ketika kejadian, Abu Bakar bersama isteri dan anak yang berehat di ruang tamu dikejutkan bunyi dentuman kuat dari arah belakang rumah menyebabkan mereka berlari melihat apa yang berlaku sebelum menyedari rumah mereka dilanda tanah runtuh buat kali kedua.

No comments:

Post a Comment