Monday, August 30, 2010

Wang pelajar lesap



SKUDAI – Tindakan seorang pengurus sebuah pusat tuisyen di sini yang menghilangkan diri selain dipercayai melarikan RM40,000 hasil bayaran yuran pelajar berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar termasuk tenaga pengajarnya. 

Susulan kejadian itu salah seorang tenaga pengajar pusat tuisyen berkenaan tampil untuk mendedahkan tembelang pengurus itu selain melaporkannya kepada pihak berkuasa disebabkan simpati dengan pelajarnya yang menghadapi kerugian. 

Guru Bahasa Inggeris yang enggan identitinya disiarkan mengakui turut ditipu apabila gajinya tidak dibayar oleh pengurus terbabit, manakala kira-kira 15 pelajarnya yang mengikuti kursus Bahasa Inggeris turut menjadi mangsa disebabkan baru menjelaskan bayaran sebanyak RM2,400 setiap seorang. 

Beliau ke pusat tuisyen berkenaan pada 21 Ogos lalu untuk mengajar seperti biasa pada jam 7 malam, namun pintu premis itu berkunci menyebabkannya beliau segera menghubungi pengurus itu untuk mendapatkan penjelasan. 

“Saya rasa seperti ada yang tidak kena apabila gagal menghubungi lelaki berkenaan, namun saya bersama rakan lain terus menunggu di tingkat bawah premis itu dengan harapan lelaki itu akan datang semula,” katanya. 

Katanya, pada mulanya mereka beranggapan lelaki itu keluar seketika kerana ada urusan di tempat lain dan akan pulang semula. Ini kerana lelaki berusia 40-an itu turut menjadikan Pusat Tuisyen berkenaan sebagai tempat tinggal. 

“Selepas menunggu sehingga jam 9.30 malam, saya cuba untuk menghubungi lelaki berkenaan namun gagal dan menganggap dia cuba menipu kami, sekali gus melarikan diri selepas berjaya memperoleh bayaran daripada pelajar,” katanya yang sudah bekerja di situ sejak tiga tahun lalu. 

Difahamkan pusat tuisyen berkenaan menawarkan khidmat Kursus Bahasa Inggeris selain menyediakan perkhidmatan tuisyen kepada murid sekolah rendah. Namun jumlah keseluruhan pelajarnya tidak diketahui kerana segala dokumen turut dilarikan pengurus berkenaan. 

Sementara itu, jurujual, Wong Poon Kui, 27 berkata, beliau telah mengikuti Kursus Bahasa Inggeris situ sejak Januari lalu namun hasratnya untuk melanjutkan kursus berkenaan ke tahap kedua gagal disebabkan masalah ini. 

“Semasa mengikuti kursus tahap pertama semuanya berjalan dengan lancar menyebabkan saya berminat untuk melanjutkan kursus ke tahap seterusnya apabila berpuas hati dengan kursus yang ditawarkan,” katanya. 

Poon Kui yang turut mengakui baru menjelaskan bayaran untuk yuran kursus berkenaan sebanyak RM2,400, namun terkilan disebabkan tidak dapat meneruskan pembelajaran kerana tindakan penipuan yang dilakukan suspek. 

Sinar Harian turut dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah, di sini pada hari yang sama manakala kes ini turut dirujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr Boo Cheng Hau. 

Dr Boo juga menasihatkan ibu bapa yang menghantar anak di Pusat Tuisyen terbabit untuk tampil memberikan kerjasama termasuk menghubunginya bagi mengesan jumlah mangsa yang terlibat dalam kes itu.

No comments:

Post a Comment