Thursday, August 19, 2010

Kumpulan Felda, KPF keluar zakat RM25.82j


NAJIB Tun Razak dan Rosmah Mansor menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim dari Rumah Nur Hikmah, Kajang, pada Majlis Berbuka Puasa di Sri Perdana, Putrajaya, malam tadi. - BERNAMA


PUTRAJAYA 18 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berbuka puasa bersama anggota Kabinet, menteri besar dan ketua menteri di kediaman rasminya di Seri Perdana, di sini.
Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Felda, hadir sama.
Pada majlis itu, Najib selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda, turut menyampaikan zakat perniagaan Kumpulan Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) Berhad kepada 14 buah Pusat Zakat Negeri (PZN).
Jumlah bayaran zakat bagi tahun 2009 bagi Kumpulan Felda dan KPF ialah berjumlah RM25.82 juta iaitu bertambah RM5.94 juta berbanding RM19.88 juta pada 2008.
Zakat Kumpulan Felda bagi 2009 adalah sebanyak RM14.92 juta iaitu bertambah RM2.15 juta manakala KPF pula berjumlah RM10.90 juta, meningkat sebanyak RM3.78 juta.
PZN Pahang adalah penerima terbesar zakat tersebut iaitu sebanyak RM9.02 juta, diikuti Johor (RM5.96 juta), Sabah (RM2.9 juta) dan Negeri Sembilan (RM1.82 juta).
Bayaran zakat tersebut adalah kali yang keenam sejak 2005.
Perdana Menteri turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih dengan berimamkan Sheikh Amru Juma"h A"bduh dari Mesir, selepas majlis berbuka puasa itu.
Najib turut meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada 40 anak yatim dari Rumah Nur Hikmah, Kajang pada majlis tersebut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment