Thursday, August 19, 2010

Pornthip yakin Beng Hock tidak bunuh diri


SHAH ALAM – Pakar Patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand yakin Teoh Beng Hock tidak membunuh diri bagaimanapun pakar itu gagal mempertahankan teorinya sebelum ini bahawa 80 peratus berkemungkinan Beng Hock dibunuh. 

Pornthip dalam keterangannya kali ini tidak memberi peratusan punca kematian berdasarkan laporan bedah siasat kedua mayat Beng Hock yang dilakukan pada November tahun lalu. 

Beliau disoal peguam mewakili kerajaan Negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar dalam inkues kematian Beng Hock di Mahkamah Koroner di sini, semalam. 

Jika tidak sebelum ini beliau mengatakan 80 peratus terdapat homisid dalam kes Beng Hock manakala 20 peratus membunuh diri. 

Keterangan itu bertentangan dengan pendapat empat pakar lain yang mendokong teori Beng Hock membunuh diri jika dilihat berdasarkan kecederaan. 

Jika sebelum ini, Pornthip mengatakan pendapatnya berkemungkinan Beng Hock dicekik tetapi kali ini beliau berkata kesan calar pada leher mendiang disebabkan daya dan tekanan lebih kuat daripada perbuatan cekik. 

“Kesan itu mungkin disebabkan oleh benda tumpul seperti keadaan seseorang meletakkan sesuatu di leher (Beng Hock) atau kepalanya ditekan pada sesuatu,” kata Pornthip. 

Selain pakar patologi, Pornthip juga Pengarah Institut Sains Forensik, Jabatan Kehakiman Thailand menafikan bahawa kecederaan di leher boleh berlaku akibat kesan jatuh memandangkan bahagian leher adalah tersembunyi. 

Selain itu Pornthip berkata, kesan koyak di dubur dan kecederaan bahagian punggung Beng Hock adalah disebabkan akibat jatuh bukan kerana ditusuk dengan objek seperti teorinya sebelum ini. 

Walaupun Pornthip mempertahankan pendapatnya mengenai kecederaan sebelum kejatuhan itu tetapi beliau tidak dapat mengesahkan sama ada Beng Hock sedar semasa jatuh.: 

Beliau memberitahu, tiada keretakan teruk pada pergelangan tangan seolah Beng Hock mempertahankan diri dengan tangan semasa jatuh. 

Sehubungan itu beliau tidak bersetuju dengan pandangan pakar forensik Britain, Dr Peter Vanezis yang dilantik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa mendiang mendarat dengan kedua-dua kakinya dan sedar semasa jatuh. 

Begitu juga peratusan punca kematian, Pornthip tidak dapat menyatakannya memandangkan beliau tidak melawat lokasi kejadian malah tidak menyentuh mayat semasa bedah siasat kedua yang dijalankan pakar patologi, Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor. 

Namun Pornthip yakin, Beng Hock bukan membunuh diri. 

Selesai disoal Malik Imtiaz, Pornthip menjawab soalan peguam mewakili keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo mengenai sesuatu nota sekiranya ditemui di tempat kejadian seseorang membunuh diri. 

Menurut pakar itu, berdasarkan protokol lazim siasatan lokasi jenayah, sekiranya menemui sesuatu nota bunuh diri di tempat kejadian haruslah dilakukan siasatan segera termasuk menguji DNA, cap jari dan cetakan tapak tangan kemudian ujian analisis tulisan dilakukan. 

Bagaimanapun baginya terlalu kecil sekiranya sesuatu nota itu boleh memberi kesan ke atas siasatan kerana dianggap bersifat emosi justeru beliau lebih memihak kepada bukti saintifik. 

Selesai sesi soal jawab itu, Pornthip diasak soalan demi soalan peguam SPRM, Datuk Abdul Razak Musa yang lebih menekankan kepada teori ‘pembunuhan’ yang diutarakan Pornthip. 

Berhubung kesan cekik, Abdul Razak mencadangkan kepadanya bahawa Beng Hock mencekik dirinya sendirinya memandangkan empat pakar sebelum ini mengatakan tiada bukti cekik.: 

Justeru Abdul Razak mencadangkan keterangan Pornthip itu semata-mata berdasarkan imaginasi sendiri kerana ketidaktetapan pendapat. 

Tambahan pula kata Abdul Razak, beliau tidak menyediakan laporan punca kematian Beng Hock. 

“Tidak. Ia berdasarkan kerja saya,” kata Pornthip yang turut dipertikaikan kewibawaannya oleh Abdul Razak berikutan seolah-olah mencabar kepakaran Dr Peter Venazis dengan teorinya itu. 

Inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung 1 September depan.

No comments:

Post a Comment