Saturday, August 7, 2010

Pas Kelantan akui kelemahan penguatkuasaan dasar Islam



KOTA BHARU 6 Ogos – Pas Kelantan yang telah 20 tahun memimpin pentadbiran negeri mengakui terdapat kelemahan dalam penguatkuasaan dasar Islamnya selama ini.
Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, dasar ‘Membangun Bersama Islam’ yang menjadi teras kerajaan sejak mula memerintah masih kekal namun penguatkuasaan yang lemah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“Dari segi dasar kita tidak berubah, kekal, cuma mungkin penguatkuasaan ada kekurangan dan kelemahan, jadi kita akan ambil perhatian.
“Sudah namanya manusia jadi adalah kelemahan, tapi dasar tidak berubah, cuma pelaksanaan,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan Tabung Ihya’ Ramadan di sini hari ini.
Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Islam dan Dakwah negeri mengulas pelaksanaan dasar Islam yang menjadi moto kerajaan negeri kebelakangan ini didapati semakin longgar.
Antara, terdapat papan iklan di beberapa lokasi strategik termasuk bersaiz besar di bandar ini menggunakan model wanita yang tidak menutup aurat.
Keadaan ini berbeza pada zaman awal pemerintahan Pas apabila semua papan tanda memaparkan gambar wanita termasuk bukan Islam yang menampakkan bahagian rambut dan dada akan dihitamkan.
Kerajaan negeri juga seolah-olah dwistandard apabila penganjuran satu acara oleh agensinya sendiri di Muzium Kelantan di sini, membiarkan persembahan seorang wanita dengan ular selama sebulan berlangsung walaupun dia secara jelas tidak menutup aurat.
Mohd. Amar berkata, pihaknya akan mengambil perhatian lebih serius selepas ini dan berusaha memastikan dasar yang ada diikuti.
“Kita akan ambil perhatian, mungkin kita terlepas pandang, kadang-kadang ada gambar tidak menutup aurat pada papan tanda tetapi itu sebahagian sahaja, secara umum dasar kita kekal,” katanya.

No comments:

Post a Comment