Monday, August 16, 2010

Pembalakan punca banjir kilat?


SIK 15 Ogos - Lebih 100 mangsa banjir kilat di Sik dan Baling semalam, akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegiatan pembalakan secara tidak terkawal di kawasan pedalaman negeri ini.
Menurut mereka, laporan tersebut bertujuan meminta SPRM menyiasat kerajaan negeri Kedah yang membenarkan kerja-kerja pembalakan secara berleluasa di kawasan tadahan hujan itu sejak memerintah negeri ini pada 2008.
Kata penduduk, kegiatan berkenaan telah menimbulkan kesulitan kepada masyarakat setempat termasuk terpaksa menanggung kerugian setelah beberapa kali dilanda banjir kilat.
Seorang mangsa, Romli Abdullah, 54, berkata, sebelum ini penduduk banyak bersabar dan terpengaruh dengan dakyah pemimpin yang memberikan alasan kononnya kegiatan pembalakan meningkatkan pendapatan kerajaan negeri.
Bagaimanapun katanya, kejadian banjir semalam benar-benar membuatkan mereka marah kerana terpaksa menanggung kesan langsung akibat kerakusan pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan hasil bumi.
"Memang sebelum ini kami tidak berbuat apa-apa kerana terpengaruh dengan kerajaan negeri. Kami cuba bersabar kerana tidak banyak terjejas.
"Namun kejadian semalam bagi kami amat malang. Lebih buruk lagi, ia berlaku ketika umat Islam baru saja masuk bulan puasa," katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi semalam, hampir 200 rumah dari 20 kampung di sekitar daerah Sik dan Baling dinaiki air bercampur lumpur.
Kejadian yang disifatkan terburuk dalam tempoh 40 tahun berkenaan dikatakan berpunca daripada kegiatan pembalakan tidak terkawal khususnya di kawasan Hutan Simpan Sungai Semeliang dan Ulu Muda.
Kerja-kerja pembalakan yang dibenarkan oleh kerajaan negeri itu dikesan sejak September tahun lalu dan mengakibatkan kekurangan pokok untuk mencengkam tanah sewaktu hujan lebat sekali gus menyumbang kepada banjir lumpur.
Antara kawasan yang teruk terjejas, Kampung Bendang Man; Kampung Charoh Sireh, Radik, Chepir, Batu 8 dan Kampung Kemelung.
Turut terjejas kawasan Kampung Bukit Sabelah; Kampung Banggol Derun; Kampung Padang Temu dan Kampung Bongor di Baling.
Seorang lagi mangsa, Kasim Lebai Hat, 56, berkata, sudah sampai masanya SPRM bertindak memandangkan penduduk terpaksa menanggung derita akibat kegiatan itu.
"Kita dapati permohonan demi permohonan mengeluarkan balak diluluskan. Kerajaan negeri berbangga kata hasil meningkat.
"Apa gunanya hasil meningkat sedangkan rakyat menderita?
"Mereka sudah melakukan kesalahan kerana menebang balak tanpa kebenaran ketika membuka laluan berkenaan," katanya yang mendakwa kerugian lebih RM30,000 akibat rumah dimasuki banjir lumpur.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan mangsa yang dipindahkan ke penempatan sementara di Dewan Orang Ramai Chepir dan Sekolah Maktab Mahmud dibenarkan pulang hari ini.
Kebanyakan mereka mula membersihkan rumah masing-masing selepas keadaan cuaca yang cerah menyebabkan air semakin surut.
Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, pihaknya telah menyampaikan sumbangan makanan dan keperluan asas kepada mangsa bagi membolehkan mereka berbuka puasa.
"Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga bersetuju meluluskan bantuan segera bagi membantu mangsa. Wang ini akan diserahkan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini," jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Mohd. Tajudin Abdullah pula berkata, pihaknya membuka bilik gerakan untuk menyelia bantuan makanan dan keperluan asas di Pejabat UMNO Bahagian Sik mulai semalam. Mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 04-4695424.

No comments:

Post a Comment