Wednesday, September 8, 2010

13 ADUN Selangor, Negeri Sembilan sokong Azmin



SHAH ALAM 7 Sept. - Seramai 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan menyokong Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu November ini.
Pendirian itu diumumkan ADUN Kota Anggerik merangkap Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Yaakop Sapari bersama-sama 12 lagi ADUN antaranya Xavier Jayakumar (Andalas), Rodziah Ismail (Batu Tiga), Shuhaimi Shafie (Seri Muda), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Haniza Talha (Taman Medan) dan Gan Pei Nei (Rawang).
Turut menolak Zaid ialah empat ADUN dari Negeri Sembilan iaitu Amirudin Harun yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Rashid Latif (Ampangan), Ravi Munusamy (Port Dickson) serta Chai Tong Chai (Lukut).
Kesemua mereka sebaliknya memberikan sokongan kepada Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Yaakop berkata, sokongan terhadap Azmin itu dibuat setelah kesemua mereka merasakan beliau untuk menerajui kepimpinan parti kerana lama bersama PKR berbanding Zaid yang hanya baru setahun menyertai parti itu.
"Kepimpinan tertinggi PKR mestilah dianggotai pemimpin berkelayakan dan berkeyakinan. Atas dasar ini, kita (ADUN PKR) menyokong penuh Azmin.
"Sokongan ini diberikan kerana Azmin merupakan orang lebih layak kerana lama bersama-sama PKR dan membuktikan komitmennya terhadap parti," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sokongan ADUN berkenaan terhadap Azmin untuk mengisi jawatan nombor dua dalam PKR itu dilihat meningkatkan tekanan kepada Zaid. yang sebelum ini menyatakan kekecewaannya terhadap segelintir Ahli Parlimen dan pemimpin daripada parti pembangkang itu.
Ini kerana, Zaid menerusi laman blognya, http://www.zaiduntukrakyat. com menyatakan bahawa ada Ahli Parlimen PKR yang sebelum ini pernah menyokongnya sebelum ini telah mengubah pendirian mereka dan ugutan mereka mahu 'menguburkannya' setelah beliau mengumumkan mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, minggu lalu.
Dalam pada itu, Yaakop menafikan sokongan yang diberikan kepada Azmin adalah satu taktik untuk merosakkan peluang serta menjatuhkan Zaid daripada bertanding jawatan tersebut.
Sebaliknya, beliau memberikan alasan bahawa sokongan ADUN-ADUN berkenaan tidak bertujuan untuk menjatuhkan sesiapa.
Bagaimanapun, Xavier yang juga Timbalan Setiausaha Agung PKR menyatakan bahawa pengumuman sokongan terhadap Azmin itu boleh disifatkan sebagai proses melobi calon yang bertanding untuk mengisi jawatan dalam parti.
"Dalam politik, kena terima proses melobi dalam pemilihan calon," ujarnya.
habis

No comments:

Post a Comment