Tuesday, September 7, 2010

Ramai pihak tampil bantu lima beradik



Oleh D J Dolasoh 

2010/09/07

GRIK: Banyak pihak tampil menghulurkan simpati terhadap nasib lima beradik yatim yang ditinggalkan ibu selepas kisah kehidupan mereka disiarkan akhbar ini semalam, termasuk ramai yang mahu mengambil adik-beradik itu sebagai anak angkat manakala sebahagian lagi memberi sumbangan kewangan. 

Abang lima beradik terbabit, Mohd Irwandi Awang Bakar, 24, berkata dia menerima panggilan telefon seawal jam 8 pagi semalam dan semua mereka adalah wanita yang menyatakan hasrat untuk memelihara lima adiknya.
Katanya, pemanggil yang datang dari seluruh negara itu kebanyakannya mahukan adik bongsu berusia lima tahun dan yang berusia sehingga 11 tahun.
Saya terharu atas simpati mereka yang menelefon dari Kuala Lumpur, Johor, 
Pahang, Kelantan, Kedah dan beberapa tempat lagi yang bersungguh-sungguh menyatakan mahu mengambil adik-adik saya untuk dijadikan anak angkat. 

Meskipun saya berasa amat sukar untuk menyara mereka kerana kemiskinan dan tiada pekerjaan tetap, saya berazam akan berusaha membela mereka selagi terdaya, katanya yang berlainan ibu dengan lima beradik terbabit, di sini, semalam. 

Semalam, akhbar ini menyiarkan rintihan Nur Syafiqah Abdullah, 14, serta empat adiknya - Muhammad Aidilfitri, 5; Siti Nur Aishah, 7; Muhammad Azhar, 9, dan Nur Syahidah, 11, yang terlalu merindui ibu mereka, Siti Rohmah Asnawi, 34, yang menghilangkan diri tanpa khabar berita sejak Mei lalu. 
Lima beradik itu yang menumpang rumah abang mereka pilu mengenangkan nasib menjelang 1 Syawal kerana bukan saja ibu tidak pulang, bapa mereka pula, Awang Bakar Jusoh, 55, meninggal dunia pada 2 Oktober 2008. 

Hanya Nur Syafiqah berbintikan Abdullah kerana masalah kesahihan sijil lahir, manakala semua adiknya yang lain berbintikan Awang Bakar iaitu nama sebenar bapa mereka. 

Mohd Irwandi, seorang nelayan di Tasik Banding, di sini, yang berpendapatan antara RM400 hingga RM700 sebulan, berkata mereka turut mendapat simpati daripada dua pembaca yang mahu menderma kepada keluarganya, terutama membeli pakaian raya untuk lima beradik itu. 

Setakat ini, katanya, seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai hamba Allah dari Kuala Lumpur menderma sebanyak RM500 dan seorang lagi dari Terengganu yang tidak dinyatakan jumlahnya. 

Saya juga buntu memikirkan tempat tinggal kami selepas Aidilfitri ini kerana tidak mampu untuk menyewa rumah memandangkan kadar sewa paling rendah di Grik ialah RM250 sebulan, katanya. 

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh terus ke alamat 52, Kampung Bersia Lama, 33320 Grik, Perak atau melalui nombor akaun CIMB Mohd Irwandi: 0810-0066633-52-0 atau hubungi 019-5437025.

No comments:

Post a Comment