Saturday, September 4, 2010

Harapan menjelang Syawal



MERSING - Seorang warga emas yang memikul tanggungjawab sebagai ibu kepada orang kurang upaya (OKU) berharap ada pihak sudi memberi bantuan kepada dirinya yang kesempitan hidup di Jalan Ibrahim, di sini. 

Sabariah Mohd Noh, 82, bukan sahaja memikul beban menjaga anak yang menghidapi sakit misteri dan tidak mampu berbuat apa-apa, malah turut menjaga suaminya, Yusof Tahir, 75, yang kini tidak berdaya untuk bekerja kuat kerana sudah tua. 

Sumber pendapatan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada kerja suami sebagai penoreh getah dengan hasil tidak seberapa selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. 

“Cabaran paling besar ialah menjaga anak saya, Robayah Yusof, 47. Kecacatan yang dialaminya ini bukan sejak lahir, tetapi berpunca daripada satu kejadian yang berlaku hampir 30 tahun lepas,” katanya. 

Mengimbau semula peristiwa itu, Sabariah berkata, ketika Robayah berusia 17 tahun, tanpa diduga dia mengalami kejadian mistik terkena pintasan bunian. 

“Satu hari Robayah yang ketika itu masih remaja hilang seharian sebelum dia ditemui dalam keadaan aneh. 

“Seingat saya, semasa kejadian, Robayah ingin ke bandar namun masih tidak pulang sehingga waktu malam dia ditemui dalam semak berhampiran rumah. Masa itu, dia berada di atas pokok, dan kami semua berusaha menurunkannya,” katanya. 

Menurutnya, selepas kejadian itu, Robayah atau lebih mesra dipanggil Yah terus berubah; dia tidak bercakap, suka mengurungkan diri dan tidak terurus.

No comments:

Post a Comment