Saturday, September 4, 2010

Mek Wook gembira

HULU TERENGGANU: Hasrat Mek Wook Kondor, 107, untuk menyambut Aidilfitri bersama suaminya, Mohd Nor Musa, 38, bakal menjadi kenyataan apabila lelaki berkenaan dibenarkan bercuti lebih seminggu oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Khabar gembira itu disampaikan sendiri Pemangku Ketua Pegawai AADK daerah, Anwar Hamid, kepada wanita tertua Terengganu itu ketika dia melawat suaminya sempena pembukaan Pusat Khidmat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (PKAADK) daerah dan Ihya’ Ramadan, di sini, kelmarin.
Mek Wook berkata, dia bersyukur kerana doanya untuk bersama suami menyambut lebaran dimakbulkan tuhan sekali gus menjadi hadiah Ramadan paling bermakna buatnya.

“Sebelum ini saya rasa macam tiada semangat hendak menyambut raya apabila suami ditahan dua bulan, namun apabila diberitahu pihak AADK semalam (kelmarin), saya gembira dan tidak sabar untuk pulang ke kampung.

“Jadi dengan kepulangan suami ini, dapatlah kami mengemas rumah dan membuat persiapan raya sebelum pulang ke kampung di Tanah Merah dan Bachok, Kelantan,” katanya ketika ditemui di PKAADK, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Mohd Nor pula, berkata dia berterima kasih kepada PKAADK kerana diberikan cuti dari 8 hingga 19 September ini untuk menyambut Aidilfitri bersama isteri di kampung.

“Mungkin kami akan menyambut raya pertama di Kampung Bukit Tok Bat sebelum pulang ke kampung di Kelantan, tapi tidak tentu lagi kerana kena fikir juga keadaan kereta dan kewangan.

“Saya akan pastikan sambutan raya kali ini lebih bermakna dan memberi tumpuan pada isteri kerana tahun lalu saya terpaksa menyambut raya berseorangan kerana ditahan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Besut tahun lalu,” katanya yang kini ditempatkan PKAADK daerah selama dua bulan.

Sementara itu, Anwar berkata, Mohd Nor kini ditahan di PKAADK daerah untuk menjalani rawatan pemulihan mengikut Seksyen 8(3)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998).

Menurutnya, sejak berada di situ dua minggu lalu, Mohd Nor menunjukkan perubahan positif apabila semakin bersemangat untuk menghindarkan diri daripada gejala tidak sihat itu selain selesa dan mudah menerima bimbingan daripada pegawai AADK.

Katanya, selain Mohd Nor sebagai ketua penghuni pusat berkenaan, terdapat tiga lagi penghuni yang menjalani rawatan pemulihan di situ secara sukarela.
“Suasana di sini lebih terbuka dan selesa apabila keluarga boleh melawat penghuni selain pelbagai aktivitinya menjurus kepada kegiatan bersama masyarakat di luar dan bertemu keluarga serta keadaannya tidak terkongkong seperti di Puspen.

“PKAADK boleh memuatkan 20 orang pada satu-satu masa dan penghuni dibimbing bagaimana cara untuk menahan diri daripada terjebak dengan gejala negatif selain persediaan untuk menempuh hidup di luar kelak,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kesetiaan cinta wanita tertua Terengganu, Mek Wook, teruji lagi apabila suaminya, Mohd Nor, ditahan polis di Kampung Pasir Tinggi, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi 12 Ogos lalu kerana didakwa positif dadah jenis heroin.

No comments:

Post a Comment