Thursday, September 16, 2010

Peguam Negara segerakan pendakwaan - Noh Omar



Noh Omar menemui isteri Noorhisham Mohammad, Suzana Radim Pangat di kediamannya di Taman Seraya Ampang, semalam.


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Kes pembunuhan kejam yang membabitkan jutawan kosmestik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga yang lain terus mendapat perhatian masyarakat.
Terbaru, Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menggesa Peguam Negara menyegerakan proses pendakwaan sebaik sahaja kertas siasatan daripada polis selesai.
"Ia bagi memastikan mereka yang bersalah akan menerima hukuman setimpalnya.
"Kejadian ini sangat merupakan satu perbuatan zalim yang tidak sepatutnya berlaku pada hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat rumah keluarga salah seorang mangsa yang dilaporkan mati dibunuh, Noorhisham Mohammad, 38, di Taman Seraya Ampang di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.
Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada isteri Noorhisham, Suzana Radim Pangat.
"Sumbangan ini sebagai meringankan beban dan kesedihan yang ditanggung oleh Suzana. Lagipun, beliau mempunyai tiga orang anak yang masih kecil dan dua daripadanya masih bersekolah," katanya.
Pada masa sama, beliau turut memuji kecekapan polis kerana berjaya menyelesaikan kes ini dengan cepat.
Dalam perkembangan yang sama, bapa mertua Noorhisham, Radim Pangat Ishak juga berharap mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan ini dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

No comments:

Post a Comment